Azizul dan Shalwati tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya - Nazri
Astro Awani
Februari 24, 2014 07:30 MYT
Februari 24, 2014 07:30 MYT
Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan pada Isnin tidak berhasrat menghantar pegawai pelancongan lain bagi menggantikan tempat Azizul Raheem Awaluddin yang kini sedang ditahan dan dibicarakan di Mahkamah Daerah di Stockholm, Sweden.
Menurut menterinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, pihaknya juga akan menunggu keputusan perbicaraan samada Azizul bersalah atau sebaliknya sebelum membuat sebarang keputusan untuk mengarahkannya kembali ke Malaysia atau sebaliknya.
Tempat Azizul sehingga kini turut masih belum digantikan oleh timbalan dan kementerian terbabit juga belum membuat sebarang keputusan samada akan terus menempatkan pegawainya di sana pada masa akan datang.
“Sekarang ini kita berpegang pada prinsip iaitu seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh mahkamah. Azizul masih seorang pegawai dan tempoh khidmatnya masih beum tamat,” ujar Nazri.
Azizul dan pasangannya, Shalwati Nor Shal ditahan sejak 18 Disember tahun lalu atas dakwaan memukul anaknya.
Terdahulu Nazri melancarkan kempen dan pengiklanan Tahun Melawat Malaysia 2014 bersama Firefly di sini.
Dalam satu lagi perkembangan, Nazri berkata kedatangan pelancong asing termasuk yang ingin mendapatkan rawatan di negara ini tidak akan terjejas dengan pengumuman Kementerian Kesihatan yang akan mengenakan caj sebenar rawatan di hospital dan klinik kerajaan.
Menurutnya, kebanyakan pelancong yang datang ke Malaysia mendapatkan rawatan di klinik dan hospital swasta yang pada mereka masih di anggap berpatutan.
Nazri juga menerima respon yang positif dan memberangsangkan daripada pengusaha hotel di seluruh negara mengenai kempen Melawat Malaysia 2014 dengan peningkatan tempahan penginapan hotel dilaporkan tinggi dengan kedatangan pelancong sejak hampir dua bulan kempen itu dilancarkan.
##SwedenLetThemGo
#Azizul Raheem Awaluddin
#Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan
#Nazri Aziz
#pukul anak
#Shalwati Nor Shal
#Sweden