Azizul dan Shalwati dijangka beri keterangan minggu depan
Teoh El Sen
Februari 28, 2014 20:27 MYT
Februari 28, 2014 20:27 MYT
Perbicaraan Azizul Raheem Awaluddin dan Shalwati Nor Shal, pasangan warga Malaysia yang berdepan tuduhan mendera empat anak mereka di Sweden bersambung dengan sesi keterangan daripada anak-anak mereka dijangka berakhir pada hari ini.
Anak lelaki kedua pasangan itu, Adam Azizul Raheem, 11, akan menyambung keterangannya di Mahkamah Daerah Solna di Stockholm dan dijadual selesai memberi keterangan tengah malam ini (waktu Malaysia), lapor seorang wartawan yang membuat liputan perbicaraan itu.
Azizul dan Shalwati pula difahamkan akan mula memberi keterangan minggu depan dan disusuli dengan keterangan daripada saksi pakar yang dikemukakan oleh pihak pendakwa.
Menurut dokumen rasmi mahkamah yang diperolehi oleh Astro AWANI sebelum ini, Adam mengaku kepada pegawai penyiasat bahawa dia telah dipukul oleh ibu bapanya.
Dalam transkrip temubual siasatan yang dirakamkan oleh pegawai penyiasat Inspektor Jessica Palm, Adam,bercerita tentang beberapa insiden dia dipukul termasuk dengan penyangkut baju dan rotan.
Dalam satu kejadian semasa dia berumur sembilan tahun, dia mengatakan ayahnya memukulnya dengan rotan dan dia mengalami kesakitan "seperti digigit" pada lengannya.
"Rasanya seperti orang menggigit saya, seperti digigit binatang… ada kesan merah semasa saya di bilik air. Saya jirus dengan air dan ia kembali seperti biasa," kata Adam dalam dokumen berbahasa Sweden itu.
Dalam satu kejadian lain, Adam mendakwa ditampar pada bahagian belakang bahunya oleh ibunya.
Adam juga menceritakan satu insiden ketika mana ayahnya didakwa memukulnya dengan kuat pada belakang badannya kerana memanggil abangnya "bodoh" sehingga dia hilangan imbangan dan hampir terjatuh.
Shalwati, seorang guru sekolah menengah dan suaminya, Azizul Raheem, pegawai Tourism Malaysia, ditahan oleh pihak berkuasa Sweden sejak 18 Disember tahun lalu.
Mereka ditangkap selepas anak lelaki mereka yang paling tua, Ammar memberitahu gurunya di sekolah yang dia telah dipukul. Pihak sekolah kemudian membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Ammar bersama kakaknya, Aishah, 14, Adam, 11, dan Arif, 7, sejak itu ditempatkan di bawah perlindungan.
Selepas lebih sebulan ditahan, Azizul dan Shalwati dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mendera dan mencabul integriti empat anak mereka.
Menurut keterangan empat beradik itu, Shalwati dituduh memukul anak-anaknya di rumah kediaman mereka di Stockholm selama beberapa tahun termasuk dengan kayu, penyangkut baju, rotan, pemukul habuk permaidani dan tali pinggang.
Kejadian itu didakwa berlaku di rumah mereka di Spanga dekat sini antara 15 September 2010 hingga 17 Disember 2013.
Sweden melarang penderaan ke atas kanak-kanak pada 1979, menjadikannya negara pertama di dunia yang berbuat demikian. Sejak itu, 34 buah negara lain mencontohi undang-undang di Sweden dengan mengharamkan sebarang bentuk hukuman fizikal ke atas kanak-kanak.