Azizan jalani pembedahan memotong kaki

Astro Awani
Mei 9, 2013 11:11 MYT
Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak akan menjalani pembedahan bagi memotong kedua-dua belah kakinya bagi mengelak jangkitan kuman.
Perkara itu disahkan oleh setiausaha akhbar beliau, Mohd Helmi Khalid.
Helmi memaklumkan, doktor menasihatkan supaya kedua-dua belah kaki Azizan dipotong dari bawah paras lutut.
Selepas perbincangan dibuat antara doktor pakar dengan kedua-dua isteri dan anak Pesuruhjaya Pas Kedah itu, mereka akhirnya akur dan membenarkan pembedahan dibuat.
Beberapa pemimpin tertinggi Pas dan Barisan Nasional (BN) turut hadir hari ini menziarah Azizan yang kini ditempatkan di Unit Penjagaan Koronari (CCU) Hospital Pulau Pinang.
Antara yang hadir, Presiden Pas, Datuk Seri Haji Hadi Awang, bekas menteri besar Kedah, Datuk Mahadzir Khalid, menteri besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakcop dan ahli Parlimen Jerai, Datuk Seri Mohd Jamil Khir Baharom.
Pada Rabu, Azizan dimasukkan ke hospital itu berikutan komplikasi diabetis.
Keadaan beliau yang dilaporkan kritikal semalam kini stabil.
#bekas menteri besar kedah #Datuk Seri Azizan Abdul Razak