Azis Jamman 'amuk', dedah helah perbelanjaan di Sabah

Harits Asyraf Hasnan
November 9, 2021 17:43 MYT
Azis Jamman menyenaraikan peruntukan yang tidak digunakan sewajarnya termasuk melibatkan projek bekalan air bersih, elektrik dan jalan raya. - Foto Facebook / Azis Jamman
KUALA LUMPUR: Sabah disifatkan sebagai negeri anak tiri susulan strategi pengagihan peruntukan daripada Persekutuan yang lapuk dan disifatkan gagal.
Kekecewaan itu dilontarkan Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman selain berpandangan Kerajaan Persekutuan harus memberi autonomi sepenuhnya kepada kerajaan negeri untuk membelanjakan peruntukan yang diberikan.
"Di manakah semua wang yang tidak habis dibelanjakan ini? Jika digunakan untuk pengurusan COVID-19, sewaktu COVID-19 melanda dunia sebelum wujudnya vaksin, kit ujian COVID-19 pun kerajaan Sabah terpaksa beli sendiri kerana tidak cukup dengan apa yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan.
"Di manakah kedudukan Sabah di dalam pencapaian vaksin? Tercorot! Infrastruktur kesihatan? Tercorot!
"Dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), 75 peratus projek di Sabah gagal disiapkan semasa RMK-11, dan di 'kitar semula' dan dimasukkan dalam RMK-12.
"Jadi, mana duit yang telah diperuntukkan kepada Sabah yang tidak dapat digunakan?

Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman mempersoalkan dari mana datangnya lebihan peningkatan peruntukan yang diumum Kementerian Kewangan kepada Sabah dan Sarawak baru-baru ini #SisiTVParlimen#DewanRakyat#AWANInews pic.twitter.com/QOvx0rsZW2

— Astro AWANI (@501Awani) November 9, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Sudahlah peruntukan tidak cukup, bentang berbillion ringgit, tetapi penyampaian kerajaan tidak effektif maka wang tidak sempat dibelanjakan dan pastinya masuk semula ke kantung Kerajaan Persekutuan," tegasnya.
Mohd Azis berkata demikian ketika membahaskan usul Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau turut memberi beberapa contoh lain termasuk projek pembangunan bekalan air, elektrik dan jalan raya yang tidak disempurnakan sebaiknya.
"Peruntukan bekalan air luar bandar Sabah sebelum COVID-19 melanda dunia pada 2018 adalah RM160 juta diperuntukkan, namun hanya RM72 juta dibelanjakan.
"Pada 2019, RM295 juta diumumkan, namun hanya RM2.9 juta sahaja dibelanjakan.
"Jadi, kalau begini coraknya, sampai bila Sabah ini boleh dimajukan sama seperti negeri lain?" soalnya.
Tegasnya, setiap peruntukan yang di Sabah tidak pernah mencapai sasaran pelaksanaan 100 peratus, sebaliknya dibawa ke tahun-tahun berikutnya.
#Azis Jamman #Peruntukan Sabah #Sabah anak tiri #peruntukan kerajaan negeri
;