Azhar Azizan Harun YDP Dewan Rakyat baharu, angkat sumpah dalam suasana 'gempita'

Harits Asyraf Hasnan
Julai 13, 2020 15:14 MYT
Proses pelantikan Azhar Azizan Harun timbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang apabila tiada proses undian dilakukan. - Gambar fail
Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat Ke-10.
Ia selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengusulkan nama beliau sebagai calon dari Kerajaan.
Bagaimanapun, proses pelantikan tersebut timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang apabila tiada proses undian dilakukan.
Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan ketika mencelah berkata tidak perlu proses undian kerana hanya satu nama sahaja yang dicadangkan.
Perkara 4(3) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat menetapkan supaya jika hanya seorang ahli atau seorang individu lain sahaja yang dicadangkan dan disokong untuk menjadi Tuan Yang Dipertua, maka Setiausaha hendaklah memasyhurkan ahli atau seorang lain itu telah kena pilih, dengan tidak dikemukakan bagi diputuskan oleh mesyuarat.
Sebaliknya, jika lebih daripada seorang ahli atau seorang lain cadangkan dan disokong jadi Tuan Yang Dipertua, maka Majlis hendaklah menjalankan pilihan dengan undi bersurat.
#Azhar Azizan Harun #Dewan Rakyat #Yang Dipertua
;