Azam junjung kasih kepada Sultan Ibrahim, ikrar jalan tugas dengan penuh integriti
Astro Awani
Mei 10, 2024 18:55 MYT
Mei 10, 2024 18:55 MYT
KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menjunjung kasih ke bawah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas perkenan melantiknya semula ke jawatan itu.
Azam berikrar akan menjalankan amanah dan tanggungjawab itu dengan penuh integriti.
"Menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas perkenan pelantikan semula saya ke jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM.
"Saya akan terus memastikan amanah ini dilaksanakan sepenuhnya dan menjalankan tanggungjawab tersebut dengan penuh integriti," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau juga berharap seluruh rakyat Malaysia serta jentera kerajaan dapat berganding bahu bersama SPRM bagi memerangi rasuah di negara ini.
Terdahulu media melaporkan Azam, 61 tahun, kembali dilantik ke jawatan berkenaan untuk tempoh setahun, berkuat kuasa 12 Mei ini.
Ini adalah kali kedua perkhidmatan Azam disambung selepas kali pertama dilantik semula ke jawatan berkenaan pada 12 Mei tahun lalu.