Azam Baki lawat WTCKL, kongsi sudut pandang banteras gejala rasuah
Fareez Azman
Mac 15, 2022 17:16 MYT
Mac 15, 2022 17:16 MYT
KUALA LUMPUR: World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) mengalu-alukan lawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki baru baru ini.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, lawatan itu antara lain bagi membincangkan mengenai sudut pandang undang-undang terutama dalam membanteras gejala rasuah melibatkan organisasi komersial.
"Saya amat berbesar hati untuk mengalu-alukan kedatangan Tan Sri Azam Baki, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke-6, ke World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) pada minggu lepas.
"Antara topik yang kami bincangkan ialah Seksyen 17A Akta SPRM. Di bawah Seksyen 17A, organisasi komersial telah melakukan kesalahan jenayah jika seseorang yang berkaitan dengannya memberikan apa-apa suapan berbentuk rasuah dengan niat untuk mendapatkan atau mengekalkan sebarang perniagaan atau kelebihan untuk organisasi komersial itu," jelasnya dalam laman Instagram miliknya baru baru ini.
Tambah Irmohizam, perkongsian itu amat penting dalam memastikan setiap organisasi memainkan peranan dalam membanteras gejala rasuah.
"Kesalahan ini dikenakan hukuman denda tidak kurang dari 10 kali ganda nilai suapan atau RM 1 juta, mana-mana yang lebih tinggi, atau penjara maksimum 20 tahun," ujarnya lagi.
Mengulas lanjut jelas Irmohizam, sebagai sebuah organisasi dalam industri Acara Perniagaan dan Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE), WTCKL ujarnya sentiasa berpegang teguh pada undang-undang Malaysia.
"Di WTCKL, kami berpegang teguh pada undang-undang Malaysia dan juga berusaha untuk mematuhi piawaian tinggi yang dituntut oleh World Trade Centers Association (WTCA) kepada ahlinya," jelasnya lagi.