Azam Baki dilantik Profesor Adjung ARI UiTM

Bernama
Mac 17, 2025 22:56 MYT
Azam Baki (kanan) menerima watikah pelantikan Profesor Adjung daripada Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Shahibudin di Bangunan Canselori UiTM hari ini. - Gambar Bernama
SHAH ALAM: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki dilantik sebagai Profesor Adjung di Institut Penyelidikan Perakaunan (ARI), Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Watikah pelantikan itu disampaikan oleh Naib Canselor UiTM Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib @Sahibuddin di sini hari ini.
Pelantikan untuk tempoh dua tahun dan berkuat kuasa hari ini antara lain bertujuan memperkukuh penyelidikan jenayah kewangan, pencegahan rasuah dan tadbir urus integriti universiti berkenaan
Azam ketika ditemui pemberita selepas itu, berkata pelantikan tersebut merupakan satu penghormatan kepada SPRM serta dirinya dan berjanji untuk memberi sumbangan kepada UiTM atas apa juga kapasiti beradsarkan pengalaman selamat lebih 40 tahun dalam perkhidmatan.
"Saya akan cuba sebaik mungkin untuk memberi sumbangan kepada UITM secara keseluruhannya terutama dalam isu-isu berkaitan dengan integriti, jenayah kewangan dan juga kaedah-kaedah penyiasatan terkini berdasarkan pengalaman saya selama bertugas di BPR (Badan Pencegah Rasuah) dan SPRM hampir 42 tahun.
"Pada saya ini bukan sahaja satu penghormatan tetapi tanggungjawab untuk memajukan anak bangsa dan walau sekecil mana sekalipun, saya akan pastikan ada ruang berkolaborasi dalam program yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak," katanya.
Sementara itu, Shahrin berkata pelantikan itu menjadi pemangkin kepada usaha UiTM melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang bidang jenayah kewangan dan tadbir urus integriti, sejajar dengan keperluan industri serta cabaran global yang semakin kompleks.
Beliau berkata menerusi pelantikan itu, ARI dapat memperkasakan penyelidikan dalam bidang kriminalogi kewangan dengan menyediakan pandangan dan analisis mendalam terhadap trend jenayah kewangan serta kelemahan dalam sistem kawal selia boleh diperbaiki menerusi perkongsian kepakaran dengan SPRM, khususnya Azam sendiri.
"Kita akan beri peluang seluasnya kepada Tan Sri (Azam) untuk berkongsi segala ilmu yang ada untuk diteruskan oleh generasi akan datang," katanya sambil berterima kepada Azam kerana sudi menerima pelantikan itu.
-- BERNAMA
#SPRM #UiTM #Profesor Adjung #jenayah kewangan
;