Azam Baki dakwa K Lalitha tidak boleh dipercayai
Bernama
Februari 15, 2022 20:41 MYT
Februari 15, 2022 20:41 MYT
KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki mendakwa Penyelidik Kanan Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), K Lalitha sebagai individu tidak boleh dipercayai dan bukan seorang wartawan penyiasat seperti yang diakuinya.
Azam, 59, yang menjawab pernyataan pembelaan Lalitha terhadap saman fitnahnya, yang difailkan menerusi Tetuan Ibrahim & Fuaadah hari ini, turut mempersoalkan dakwaan wanita itu mempunyai hubungan kerjaya yang baik dengannya (Azam) dan kakitangan suruhanjaya itu.
Azam menafikan dakwaan hubungan baik itu dan menegaskan (sekiranya dakwaan itu betul), ia sepatutnya memudahkan lagi kerja wanita itu untuk mendapatkan pengesahan daripadanya sebelum mengarang dan menerbitkan artikel dan ciapan fitnah tersebut.
"Sebaliknya, defendan (Lalitha) mengarang, menerbitkan dan menerbitkan semula artikel dan ciapan itu tanpa mendapatkan pengesahan dan maklum balas dari saya terlebih dahulu.
"Pernyataan defendan di sini jelas bertujuan untuk mengelirukan mahkamah dengan mendakwa kononnya dia mempunyai hubungan kerja yang baik dengan saya dan kakitangan saya sedangkan saya dan SPRM tidak pernah mempunyai sebarang hubungan kerja secara peribadi dengannya," dakwanya.
Azam berkata, defendan juga tidak memberikan sebarang butiran berkenaan nombor pemberi maklumat yang sepatutnya beliau miliki selaku seorang pemberi maklumat berdaftar dengan pihak berkuasa.
"Selaku 'wartawan penyiasat', adalah suatu perkara asas baginya untuk mendapatkan maklumat penuh atau sekurang-kurangnya nama penuh pegawai SPRM yang dikenali sebagai 'Hong' dan nombor pemberi maklumat yang diberikan oleh pihak berkuasa (seperti yang didakwanya dalam pernyataan pembelaan)," dakwa Azam.
Sementara itu, peguam Mohamed Ibrahim Mohamad yang mewakili Lalitha ketika dihubungi pemberita hari ini berkata, pengurusan kes saman itu ditetapkan pada 8 Mac.
Pada 12 Januari lalu, Azam memfailkan saman terhadap Lalitha, 49, atas dakwaan menerbitkan artikel memfitnah berkaitan pembelian saham yang disiarkan oleh portal agensi berita Independent News Service (INS).
Azam mendakwa Lalitha telah mengarang dua artikel bertajuk Business Ties Among MACC Leadership: How Deep Does It Go? (Bahagian 1) dan Business Ties Among MACC Leadership: How Deep Does It Go? (Bahagian Dua) yang pertama kali diterbitkan dalam INS pada 26 Okt sebelum kedua-dua artikel diterbitkan semula pada 15 Disember tahun lepas.
Plaintif mendakwa defendan turut berkongsi pautan artikel itu di laman Twitternya atas nama @LalithaVelvet untuk disebarkan kepada umum dan pautan kepada kedua-dua artikel masih boleh diakses (semasa saman itu difailkan).
Dakwa Azam tajuk artikel itu adalah sensasi, bersifat skandal dan menjengkelkan kerana ia dikarang dan diterbitkan semula dengan niat jahat bagi memberi kesan serta gambaran yang amat buruk kepada pembaca bahawa plaintif seorang penjawat awam yang korup atau menyalahgunakan kedudukannya sebagai seorang pegawai tinggi SPRM untuk kepentingan sendiri atau adik-beradiknya.
Sementara itu, Lalitha menerusi pernyataan pembelaan difailkan pada 3 Februari lalu mendakwa kandungan artikel dan ciapannya membabitkan Azam diperoleh daripada sumber yang sah.