Azalina terima anugerah GIFA, peranan dalam agenda reformasi timbang tara diiktiraf

Bernama
September 18, 2024 15:16 MYT
Anugerah diberikan GIFA kepada Azalina atas peranan dan sumbangan beliau dalam agenda reformasi timbang tara, terutama yang melibatkan kewangan Islam. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dinobatkan sebagai penerima anugerah 'Global Islamic Finance Awards (GIFA) Special Award 2024 for Leadership in Legislative and Institutional Reforms related to Islamic Finance', semalam.
Bahagian Hal Ehwal Undang Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini memaklumkan anugerah tersebut diberikan GIFA kepada Azalina atas peranan dan sumbangan beliau dalam agenda reformasi timbang tara, terutama yang melibatkan kewangan Islam.
"Jawatankuasa Anugerah GIFA juga turut mempertimbangkan beberapa personaliti lain. Setelah pertimbangan dan perbincangan terperinci, jawatankuasa tersebut telah memutuskan bahawa anugerah ini diberikan kepada beliau (Azalina) berdasarkan beberapa kriteria dalam metadologi GIFA," menurut kenyataan itu.
BHEUU memaklumkan Ketua Pengarahnya Datuk Zamri Misman telah mewakili Azalina untuk menerima anugerah terseut di Maldives semalam, memandangkan Azalina kini berada di Perancis bagi menghadiri perbicaraan kes tuntutan Sulu.
Menurut BHEUU, GIFA adalah antara anugerah kewangan Islam yang paling berprestij di dunia dan badan itu sejak awal penubuhannya telah memberi pengiktirafan kepada beberapa ketua negara dan ketua kerajaan atas sokongan dan dukungan mereka kepada perbankan dan kewangan Islam melalui Anugerah Kepimpinan Kewangan Islam Global.
Antara tokoh yang pernah dianugerahkan Anugerah Kepimpinan Kewangan Islam Global oleh GIFA termasuk Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Presiden Indonesia Joko Widodo.
-- BERNAMA
#Azalina Othman Said #Global Islamic Finance Awards Special Award 2024 #GIFA 2024 #terima anugerah
;