Azalina sahkan masih penasihat khas PM

Astro Awani
Ogos 31, 2022 13:32 MYT
Azalina dilantik ke jawatan berkenaan pada pada 2 Oktober 2021. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said mengesahkan masih berkhidmat sebagai Penasihat Khas Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia kepada Perdana Menteri.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Ahli Parlimen Pengerang itu dalam kenyataan ringkas di laman Facebook, hari ini.
"Saya ingin mengesahkan bahawa setakat 31 Ogos 2022, saya masih berkhidmat sebagai Penasihat Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia.
"Saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan Selamat Hari Merdeka yang ke-65," tulisnya dalam hantaran tersebut.
Pada Selasa, media melaporkan Azalina didakwa tidak lagi menjalankan tanggungjawab sebagai Penasihat Khas Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia kepada Perdana Menteri.
Sumber tersebut mendakwa, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu telah meletak jawatan pada Selasa.
Azalina dilantik ke jawatan berkenaan pada pada 2 Oktober 2021.
#Azalina Othman #Azalina masih penasihat undang-undang #ismail sabri yaakob #Azalina nafi letak jawatan
;