Azalina mahu hantar RUU Pemecatan Ahli Parlimen 2021
Hasimi Muhamad
September 1, 2021 11:03 MYT
September 1, 2021 11:03 MYT
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said berhasrat menghantar suatu notis Usul Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021 kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu berkata, usul tersebut, di bawah Peraturan Mesyuarat 49(1) untuk RUU Ahli yang Bukan Ahli Kerajaan dan diharap menjadi titik permulaan memperkenalkan Pilihanraya Pecat atau “Recall Election” pada sidang September ini.
Di samping itu, katanya, beliau juga berhasrat untuk mencadangkan penubuhan 'Kaukus Reformasi Parlimen dan Demokrasi Pelbagai Parti' di antara Ahli-ahli Parlimen yang berminat.
Ia bagi memperkasa institusi Parlimen Malaysia dan memartabatkan Demokrasi Berparlimen di negara ini.
"Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih dan memberi penghargaan kepada penyelidikan asal yang dilakukan oleh Bersih 2.0 yang telah berjaya memberi pemahaman kepada orang awam tentang mekanisme pemecatan wakil rakyat," katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook hari ini.
Katanya, Recall Election merupakan mekanisme yang membolehkan rakyat menarik balik mandat yang diberikan kepada wakil rakyat sekiranya seseorang itu melompat parti.
Dengan ini, ia membolehkan pilihan raya kecil diadakan semula di kawasan tersebut untuk membolehkan rakyat memilih wakil rakyat yang baharu.
Mengulas lanjut, Azalina berkata setelah 64 tahun negara meraikan Kemerdekaan, kini terdapat gejala berleluasa di mana wakil-wakil rakyat membelakangi mandat yang diberikan bukan sahaja daripada parti politik, tetapi juga kepercayaan rakyat.
"Ramai rakyat mempersoalkan: Apa ertinya mengundi jika wakil rakyat boleh memajak- gadaikan mandat rakyat selepas pilihan raya?
"Pemimpin generasi saya harus menerima persaingan antara parti-parti politik sebagai sesuatu yang positif dan menguntungkan rakyat. Jika persaingan ini berdasarkan peraturan permainan (Rules of the Game) yang munasabah, dan bukan dicetuskan dari perpecahan parti politik yang memudaratkan," katanya.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu menambah, persaingan politik perlu dimurnikan, iaitu bukan dihapuskan, ditekan, ataupun diisi dengan kebencian serta dihuru-harakan.
Tegasnya, demi kemajuan negara, pemimpin politik generasi beliau dan lebih muda, mesti berani bermuafakat dan berpakat untuk menjadikan politik sebagai sesuatu pilihan kerjaya yang profesional, dihormati dan disegani, bukannya dikeji serta dicaci. T
"Anggapan rakyat terhadap ahli-ahli politik hari ini sangat memalukan dan secara peribadi, saya terkilan dengan keadaan ini.
"Saya amat berbesar hati dengan perbincangan di antara kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama blok pembangkang dan bebas untuk memperkenalkan undang-undang mencegah lompat parti," katanya.
#Azalina Othman
#RUU Pemecatan Ahli Parlimen 2021
#Recall Election
#Parlimen Malaysia
#Politik Malaysia