Azalina beri pantun kepada 'katak', harap Dewan Rakyat bagi 'fast track' debat RUU Akta Lompat Parti
Hasimi Muhamad
September 15, 2021 12:18 MYT
September 15, 2021 12:18 MYT
KUALA LUMPUR: Transformasi Pentadbiran dengan mewujudkan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Lompat Parti disifatkan wajib dan wajar dilakukan secepat mungkin.
Ahli Parlimen Pengerang (Barisan Nasional), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ini kerana tindakan lompat parti oleh Ahli Parlimen boleh berlaku pada bila-bila masa.
Bagaimanapun, bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu berharap agar RUU Pemecatan Ahli Parlimen 2021 diberikan 'fast track' untuk didebatkan di Dewan Rakyat, sekali gus diambil alih oleh kerajaan sebagai asas kepada Akta Anti Lompat Parti.
"Lompat si katak lompat... lompat di dalam perigi, lompat jangan tak lompat nanti tak sempat menjadi.
"Itu sebabnya Tuan Yang di-Pertua, atas konsep demokrasi kita kena wujudkan Akta Lompat Parti.
"Tetapi Akta Lompat Parti ini bahayanya satu sahaja, dia lompat apa pun sebab kerana dipecat, kerana digabungkan, kerana bila tak suka dia pergi lah.
"(Maka), mewujudkan satu mekanisme mengenai RUU Pemecatan Ahli Parlimen supaya senarionya lebih terbuka,dan diberikan kuasa kepada rakyat untuk menentukan ganti atau tidak kepada mereka yang lompat.
"Kita mesti menerima, kadang-kadang yang nak lompat itu bukan nak lompat, tetapi dia dipaksa lompat kerana dia telah dipecat. Jadi, cadangan saya dengan RUU ini macam orang bercerai lah," katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat pada Rabu.
Pantun untuk 'katak' dari Azalina
Sebelum ini, Azalina telah menghantar notis cadangan usul 'RUU Pemecatan Ahli Parlimen 2021' kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.
Biar rakyat tentukan Ahli Parlimen lompat perlu diganti atau tidak
* Ikuti semua kandungan ini di laman mikro Sisi TV Parlimen serta di semua platform media sosial Astro AWANI sepanjang sidang Parlimen ini berlangsung.