MELIHAT wajah Kayla (harimau Malaya), Maya (orang utan), serta Panjang (harimau bintang), pasti akan timbul rasa kasihan dengan nasib yang menimpa mereka ketika ini.

Nama-nama tersebut antara 4,000 haiwan yang menghuni Zoo Negara, dan tiada siapa dapat 'meneka' keadaan mereka pada masa akan datang.

Yang pasti, mereka juga mahkluk Tuhan yang perlu dibantu berikutan tabung kecemasan Zoo Negara, ketika ini dianggarkan mampu bertahan kira-kira tiga bulan sahaja.

Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly @ Rahmat Amat Lana berkata susulan penutupan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Zoo Negara berdepan kemerosotan pendapatan.

Ia sekali gus menyukarkan pihak Zoo Negara untuk menampung kos operasi yang mencecah sekitar RM1.2 juta hingga RM1.4 juta sebulan, katanya.

Kos bulanan itu meliputi RM500,000 untuk emolumen pekerja; RM400,000 untuk makanan haiwan; RM400,000 untuk penyelenggaraan dan kerja-kerja rutin pembaikian; bil elektrik (RM140,000) dan bil air sebanyak RM40,000.

"Pada bulan Jun, kami telah merekodkan kedatangan 13,527 pengunjung, Julai (34,101 pengunjung), Ogos (43,795 pengunjung) dan September seramai 34,766.

"Namun, sehingga 13 Oktober sebelum PKPB bermula, kami menerima 6,514 orang sahaja. Kehadiran pengunjung mulai berkurangan semasa bilangan kes meningkat naik," katanya ketika ditemui Astro AWANI, di sini pada Selasa.

Usaha Zoo Negara

Menyedari keadaan tersebut, Rosly berkata pelbagai usaha sedang giat dijalankan oleh Zoo Negara untuk memastikan 'tempat tidur' dan 'taman permainan' haiwan-haiwan yang menghuni di kawasan itu, terus terjaga.

Dalam masa yang sama, katanya kebajikan 137 kakitangan di Zoo Negara juga perlu diutamakan bagi memastikan mereka tidak hilang sumber pendapatan.

Menurut Rosly, ketika ini Zoo Negara sedang mengadakan perbincangan dengan rakan strategik untuk melakukan kolaborasi penyediaan perkhidmatan live streaming atau siaran langsung.

"Kita sedang berbincang, oleh kerana PKP, (perbincangan) berjalan perlahan. (Inisiatif) ini bagus sebab pertama, kita tak (mengeluarkan) modal, syarikat tersebut ada mencadangkan kepada kita supaya kamera litar tertutup (CCTV) digunakan untuk siaran langsung sepanjang hari apabila zoo dibuka.

"Apabila haiwan sudah masuk kandang, (siaran langsung) itu akan dihentikan. Banyak cadangan (dikemukakan) dan akan dikenakan caj beberapa ringgit kepada mana-mana yang berminat untuk menonton (siaran langsung) tersebut," katanya lagi.


Selain itu beliau berkata, Kempen Haiwan Angkat turut diperluaskan ke platform e-dagang termasuk Shopee dan Lazada.

Dengan sumbangan serendah RM10, katanya orang ramai kini berpeluang menjadi penyelamat haiwan.

"Pihak kami (juga) memang ada menerima sumbangan daripada rakyat Malaysia yang bermastautin di luar negara, malahan dari warga negara asing yang pernah mengunjungi Zoo Negara turut menyalurkan sumbangan tunai melalui sistem perbankan negara masing-masing terus ke akaun bank Zoo Negara. 

"Sumbangan juga disalurkan oleh murid-murid sekolah dengan serendah 20 sen," ujar beliau.


Setakat ini, program itu mendapat sambutan menggalakkan dan ramai penderma baharu tampil menghulurkan sumbangan.

Zoo Negara tidak hanya bergantung bantuan kerajaan

Rosly menegaskan, sejak penubuhan Zoo Negara pada 1963, pihaknya sentiasa berdikari dan berusaha untuk memastikan Zoo Negara terus beroperasi, dan tidak hanya bergantung kepada dana yang disalurkan kerajaan.

Jelasnya, bantuan yang disalurkan oleh kerajaan berjumlah RM1.3 juta baru-baru digunakan sepenuhnya untuk menampung kos operasi.

Ujarnya lagi, laporan audit mengenai penggunaan dana tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).


"Kita sentiasa berdikari dengan menyalurkan semua duit hasil pungutan daripada penjualan tiket, sumbangan orang dan bank-bank.

"Oleh kerana keadaan yang tidak dijangka, dan satu dunia berdepan masalah ini (COVID-19), jadi kita (mengalami) masalah kewangan dan kita kerajaan telah membantu kita.

"Kita juga telah meminta bantuan orang awam dan mereka menyokong kita dengan memberikan sumbangan, di mana pada tiga bulan awal pelaksanaan PKP, sebanyak RM8 juta termasuk RM1.3 juta sumbangan kerajaan berjaya dikumpul," jelas Rosly.

Sehubungan itu, beliau berharap Zoo Negara boleh kembali meneruskan operasi seperti biasa, dalam masa terdekat.

Orang ramai yang berminat untuk menderma atau menyertai program pakej Adopt An Animal, boleh melayari portal Ticket2U atau menerusi perniagaan dalam talian Zoo Malaysia di Lazada dan Shopee.