"Ayuh bantu hospital" - Radzuan ajak pereka fesyen sediakan PPE
Saharudin Musthafa
Mac 30, 2020 15:52 MYT
Mac 30, 2020 15:52 MYT
HATI Datuk Radzuan Radziwill sangat tersentuh bila memikirkan terlalu besar pengorbanan para petugas kesihatan yang bertungkus-lumus di hospital merawat dan menyelamat mangsa pandemik COVID-19.
Kesedihan tambah berganda dalam jiwa pereka fesyen ternama itu apabila dimaklumkan peralatan perlindungan diri (PPE) yang diperlukan oleh pihak hospital pula semakin berkurangan.
Memikirkan nilai amanah yang sedang dipikul oleh petugas kesihatan tidak boleh diukur dengan wang ringgit selain mahu bersama-sama kerajaan dalam masa sukar ini, Radzuan menggerakan usaha menjahit dan menyediakan PPE seperti yang diperlukan.
Sejak lapan hari lalu, kebetulan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan oleh kerajaan, Radzuan berkurung di rumahnya menyiapkan PPE.
Menurut Radzuan, ketika segala urusan dan aktiviti di luar rumah seperti kelazimannya tidak boleh dilakukan, ada eloknya beliau menggunakan kemahirannya menyiapkan apa yang dikehendaki oleh pihak hospital.
“Menjahit adalah kemahiran saya. Apa gunanya ada kemahiran jika tidak disalurkan kepada pihak yang memerlukan. Saya fikirkan, inilah masa terbaik untuk kita sama-sama mengharungi saat-saat yang sukar.
“Selepas dimaklumkan, hospital memerlukan PPE, saya tidak tunggu lama untuk membantu menyiapkan apa yang diperlukan oleh mereka (petugas kesihatan),” kata Radzuan kepada Astro AWANI ketika dihubungi.
Semenjak lapan hari lalu, kata Radzuan, beliau sudah menyiapkan lebih 500 set pasang PPE untuk dihantar ke beberapa hospital di sekitar Lembah Kelang.
Menurutnya, PPE (pakai buang) yang diperlukan oleh pasukan petugas kesihatan di seluruh negara merangkumi jaket panjang, sarung kaki (bergetah), sarung kasut, tudung dan topi.
“PPE-PPE yang diperlukan harus mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan. Kerana itu, penyediaannya haruslah menepati apa yang dikehendaki,” kata Radzuan.
Memandangkan lebih banyak set PPE diperlukan berdasarkan situasi semasa pandemik COVID-19, Radzuan mengajak seluruh rakan-rakan pereka fesyen untuk tampil bersama-samanya menyediakan keperluan itu buat pihak hospital.
Kata Radzuan, ini merupakan masa terbaik untuk semua pereka fesyen sama-sama bersolidariti membantu kerajaan.
“Sebagai antara pereka fesyen senior, saya ingin ajak rakan-rakan khususnya pereka fesyen generasi muda ayuh kita sama-sama berganding bahu siapkan PPE dan serah pada petugas kesihatan.
“Apa salahnya kita guna kemahiran dan kepakaran kita bantu mereka yang memerlukan. Saya percaya, jika lebih ramai pereka fesyen yang turut serta, pihak hospital tentu sekali akan merasa lega kerana bekalan PPE mampu ditampung.
“Sumbangan kita akan memberikan makna yang cukup besar buat sahaja kepada pihak hospital bahkan kepada mangsa-mangsa COVID-19,” kata Radzuan lagi.
Ketika kini, kata Radzuan, dua sahabatnya yang juga pereka fesyen terkenal, Salikin Sidek dan Kudin menyertainya menyiapkan PPE yang diperlukan oleh petugas kesihatan.
Selain pereka fesyen profesional, Radzuan juga mengajak kaum wanita dan lelaki yang mahir menjahit di sekitar Lembah Kelang untuk bersama-samanya melakukan sumbangan ini.
Kata Radzuan, jika ada mana-mana pihak yang berminat untuk bersama-sama dalam kerja amal ini, beliau sendiri akan menyediakan fabrik dan getah yang diperlukan dalam menyiapkan PPE.
“Sesiapa yang berminat boleh hubungi saya secara terus (di akaun media sosial), saya akan sediakan fabrik dan bagi contoh pakaian PPE yang disediakan. Ikut sahaja contoh yang saya bagi,” kata Radzuan yang amat gembira jika lebih ramai yang mahu tampil bersama-samanya dalam kerja amal ini.
#COVID19
#Hospital
#peralatan perlindungan diri
#pereka fesyen
#petugas kesihatan
#PPE
#Radzuan Radziwill