Ayam masak lemak disyaki punca 137 guru tabika keracunan makanan

Bernama
Januari 5, 2020 00:00 MYT
NOOR HISHAM: Sampel klinikal dari kes-kes serta sampel makanan telah diambil dan dihantar ke makmal untuk dianalisis. - Gambar fail
Masakan 'ayam masak lemak' disyaki menjadi punca 137 guru tabika mengalami gejala muntah, sakit perut dan cirit-birit ketika menyertai kursus dua hari di sebuah pusat latihan di Cheras di sini.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, melalui siasatan pihak Pejabat Kesihatan Cheras (PKC), para peserta kursus itu dipercayai mengambil makanan berkenaan pada waktu makan malam di dewan pusat latihan itu, pada Sabtu malam.
"Sampel klinikal dari kes-kes serta sampel makanan telah diambil dan dihantar ke makmal untuk dianalisis. Siasatan lanjut masih dilakukan oleh pihak PKC bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian keracunan makanan ini," katanya dalam kenyataan, Ahad malam.
Beliau berkata dapur kafetaria pusat latihan itu telah ditutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi siasatan lanjut serta disinfeksi keseluruhan premis, dan ia akan dibuka semula sebaik sahaja penambahbaikan dibuat oleh pihak pengurusan kafetaria itu.
"Pihak pengurusan kafetaria juga diminta untuk menyimpan 'holding sample' bagi setiap kali kursus dijalankan di pusat berkenaan," katanya.
Dilaporkan seramai 137 daripada 280 guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengalami keracunan makanan awal pagi ini termasuk empat guru dibawa ke unit kecemasan selepas mengadu sakit perut dan cirit-birit serta muntah.
Dr Noor Hisham turut memaklumkan kesemua mangsa dalam keadaan stabil dan diberikan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Canselor Tunku Muhriz (HCTM).
-- BERNAMA
#guru tabika #keracunan makanan #Ketua Pengarah Kesihatan #Noor Hisham Abdullah #Pejabat Kesihatan Cheras #peserta kursus #pusat latihan #Sakit perut
;