Ayam golek RM1 habis dalam masa sejam, peniaga alu-alukan infak orang ramai

Adie Sufian Zulkefli
Mac 3, 2025 17:06 MYT
Restoran berkenaan mengalu-alukan infak orang ramai untuk meneruskan program jualan sedemikian sepanjang Ramadan. - Gambar/ Astro AWANI
ALOR SETAR: Restoran Terubuk Bakar di Jalan Langgar mencipta fenomena apabila ayam bakar dijual pada harga RM1 habis dalam masa kurang dari sejam pada Ahad.
Pemilik restoran, Mohamad Amri Mhd Shukri, 29, berkata, promosi ini diadakan pada hari pertama puasa untuk menarik pengunjung ke bazar Ramadan yang dibuka sepanjang bulan tersebut.
"Saya tidak menyangka orang ramai sanggup beratur seawal jam 2 petang untuk membeli ayam pada harga RM1. Sebanyak 300 ekor ayam bakar habis dijual dalam tempoh tidak sampai satu jam sejak mula dijual pada jam 3.30 petang. Setiap seorang dibenarkan membeli seekor sahaja," katanya.
Mohamad Amri menjelaskan bahawa jualan ayam bakar pada harga RM1 ini adalah hasil daripada infak individu tertentu dan juga sebagai promosi perniagaan.
Beliau turut mengalu-alukan infak orang ramai untuk meneruskan program jualan sedemikian sepanjang Ramadan.
Menurutnya, tindakan menjual ayam bakar pada harga RM1 ini bertujuan mempromosikan bazar Ramadan yang menempatkan 77 gerai di sekeliling kedainya. Mohamad Amri yang sudah berniaga di bazar tersebut sejak tahun lalu, berharap inisiatif ini dapat meningkatkan sambutan orang ramai.
Pada hari biasa, ayam bakar di restoran ini dijual pada harga RM21 seekor.
#CeritaRamadan2025 #Ramadan2025 #Bazar Ramadan #ayam golek
;