Ayam eksotik Roshairi Izuan tembusi pasaran antarabangsa
Bernama
Mei 22, 2022 12:36 MYT
Mei 22, 2022 12:36 MYT
KUALA TERENGGANU: Roshairi Izuan Sulaiman tidak menyangka minat memelihara ayam sejak kecil telah membuka ruang kepadanya untuk menceburi bidang perniagaan ayam eksotik sehingga berjaya menembusi pasaran antarabangsa.
Anak jati Setiu berusia 34 tahun itu berkata memelihara ayam eksotik bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan penjagaan rapi serta penelitian bagi memastikan kesihatan haiwan itu berada pada tahap optimum.
Menurutnya lapan jenis ayam yang dimilikinya ketika ini adalah ayam Yokohama dari Vietnam, Cemani (Indonesia), Aseel Parrot Beat (India), Modern Game (Amerika Syarikat), Onaga (Jepun), Ratu (Thailand), Brahma Black Mottled (Turki) dan Serama (Malaysia).
"Harga yang dijual sangat berpatutan mengikut jenis, saiz dan kualiti ayam tersebut. Saya pernah menjual ayam peliharaan kepada pelanggan dari negara Qatar, Pakistan, Thailand dan Arab Saudi.
"Jenis ayam yang paling mahal pernah dijual adalah Aseel Parrot Beat dari India dengan harga seekor boleh mencecah sekitar RM6,000 hingga RM7,000 mengikut saiz dan kualiti," katanya.
Roshairi Izuan berkata demikian ketika ditemui Bernama pada Pameran Ayam Eksotik sempena Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Aidilfitri 2022 di Dataran Drawbridge di sini, pada Sabtu.
Menurutnya setiap ayam eksotik mempunyai cara penjagaan yang berbeza kerana ia datang dari serata dunia, selain faktor cuaca dan pemakanan turut mempengaruhi tumbesaran haiwan tersebut.
"Ketika mula berniaga pada tahun 2000, modal yang saya keluarkan sebanyak RM15,000 dengan membeli pelbagai jenis ayam eksotik dari luar negara secara berperingkat.
"Saya tidak sangka setelah 22 tahun saya berniaga ayam eksotik ini, perniagaan saya semakin maju dan jualan pernah mencecah hampir RM10,000 sebulan," katanya.
Beliau berkata bagi pasaran tempatan pula, ayam jenis Brahma Black Mottled sentiasa mendapat permintaan ramai kerana ia bertubuh besar dan memiliki bulu yang lebat dari kepala hingga hujung kakinya.
"Ayam Brahma Black Mottled tidak susah untuk dipelihara kerana ia dijaga seperti ayam biasa (ayam kampung)," katanya dan menambah harga bagi sepasang anak ayam tersebut mencecah sekitar RM1,000 mengikut saiz.
-- BERNAMA