Ayah sebut 'Allahuakbar' sebelum rebah

Sinar Harian
April 30, 2021 13:12 MYT
Menceritakan kejadian, katanya, bapanya (gambar) ketika itu mahu ke tandas tetapi terjatuh di tepi katil sebelum disedari ibunya, Romaini Mat Daud yang ketika itu mendengar Allahyarham menyebut 'Allahuakhbar'. = Gambar fail
KOTA BHARU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Allahyarham Md Yusnan Yusoff yang meninggal dunia pada Jumaat merupakan seorang ayah yang sangat tegas dalam mendidik anak-anaknya terutama soal didikan agama.
Anak ketiga Allahyarham, Mohd Jawwad Md Yusnan, 27, berkata, bapanya seorang yang mudah mesra dengan masyarakat, namun tegas dalam mendidik enam anaknya bagi mendalami ilmu agama.
Menurutnya, walaupun sibuk dengan jadual ketat termasuk terbabit dengan aktiviti sumbangan pada Ramadan ini, namun bapanya tetap meluangkan masa untuk menjadi imam termasuk solat tarawih untuk keluarga.
"Itu antara amalan arwah ayah yang akan saya dan adik-beradik bawa sampai bila-bila. Memang arwah suka kami bersama ke mana sahaja, termasuk untuk bersolat bersama," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.
Mohd Jawwad berkata, dia tidak menyangka solat tarawih pada Khamis merupakan solat terakhir yang diimamkan bapanya sebelum rebah pada jam 2 pagi.
Menceritakan kejadian, katanya, bapanya ketika itu mahu ke tandas tetapi terjatuh di tepi katil sebelum disedari ibunya, Romaini Mat Daud yang ketika itu mendengar Allahyarham menyebut 'Allahuakbar'.
Selepas itu, katanya, ibunya bergegas memanggil anak-anak di bilik bahagian atas rumah, sementara Mohd Jawwad menghubungi hospital.
ARTIKEL BERKAITAN: ADUN Melor Md Yusnan Yusof meninggal dunia
"Semasa petugas kesihatan tiba, mereka sempat memberikan bantuan kecemasan tetapi ayah sudah meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung," katanya.
Menurutnya, Allahyarham sebelum ini pernah membuat rawatan jantung, namun tetap aktif dalam melakukan tugas sebagai wakil rakyat termasuk meraikan dan membantu penduduk kampung.
Mohd Jawwad berkata, tiada perubahan ketara ditunjukkan bapanya sebelum meninggal dunia, cuma Allahyarham kurang bercakap sejak seminggu lalu mungkin disebabkan keletihan.
"Bagaimanapun jadual kerja dan tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan kepadanya tetap dilaksanakan sebaik mungkin, selain sempat membantu anak-anak menguruskan aktiviti harian," ujarnya.
Jenazah Allahyarham Md Yusnan akan disolatkan di Masjid Muhammadi di sini selepas solat Jumaat untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Pondok Haji Hassan, Ketereh.
Artikel asal diterbitkan di portal Sinar Harian.
#ADUN Melor meninggal dunia #Md Yusnan Yusoff #Mohd Jawwad Md Yusnan #politk Malaysia #serangan jantung #keluarga #jenazah #solat tarawih
;