'Ayah pesan sempurnakan kerja di sana kerana Allah' - Ebit Lew mohon doakan bapa terlantar sakit
Astro Awani
Jun 19, 2021 16:13 MYT
Jun 19, 2021 16:13 MYT
KUALA LUMPUR: Pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew berkongsi di media sosialnya tentang berita terbaharu bapanya.
Menerusi hantaran terbaharu di akaun Instagram, Ebit memaklumkan status kesihatan bapanya yang kini berada pada tahap kurang memuaskan dan dijaga oleh abangnya.
“Pohon doakan ye. Sakit ayah semakin berat. Sekarang di hospital di jaga oleh abang saya. Pohon doakan Allah hilangkan rasa sakitnya dan beri cepat sembuh," kata Ebit dalam hantarannya yang dimuat naik pada Jumaat.
“Ya Allah.... sembuhkanlah ayah ku. Bila call ayah masa sedar, ayah cakap sempurnakan kerja di sana kerana Allah. Hidup ini satu perjuangan. Kadang dah tak sedar sangat. Ya Allah…
“Insya-Allah akan balik dalam masa terdekat. Doakan yer semuanya,” tulisnya.
Difahamkan, pemdakwah kesayangan ramai ini dipercayai masih berada di Mesir kerana melaksanakan misi kemanusiaan di Gaza.
Ebit berlepas ke Mesir pada 25 Mei lalu untuk menjayakan misi bantuan kemanusiaan dengan menyampaikan sumbangan kepada rakyat Palestin yang terjejas akibat penindasan dan serangan Israel.
Terdahulu, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memaklumkan, misi kemanusiaan Ebit dan delegasinya itu berjalan dengan lancar dan sentiasa memberikan perkembangan tentang misi tersebut.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata pendakwah berkenaan ke Mesir untuk misi tersebut bermula 25 Mei hingga 30 Mei 2021.