Ayah pesan jaga ibu, jaga adik, dia sakit batu karang - anak mangsa kemalangan

Dewi Nur Harasha Alias
Julai 14, 2018 06:24 MYT
Farah menitiskan air mata ketika mengenang pesanan terakhir arwah ayahnya ketika ditemui di rumah ibu saudaranya di Sama Gagah,dekat Permatang Pauh, Pulau Pinang malam tadi. - Foto Astro AWANI.
"Ayah sakit batu karang.. Ayah pesan, suruh jaga ibu dan adik-adik."
Itu merupakan pesanan terakhir Noorakhirludin Alam Mohamad Noor, 48 tahun, kepada anak sulungnya, Farah Noorakhirludin Alam, 17 tahun, minggu lalu.
Ujar Farah, kali terakhir dia bertemu dengan ayahnya ialah pada Sabtu lalu ketika ingin pulang ke asrama di Kepala Batas, Pulau Pinang.
Malah, dia juga tidak menyangka pesanan yang dititip ayah tersayang itu merupakan amanah terakhir sebelum pergi buat selama-lamanya apabila terlibat dalam kemalangan pada Sabtu.
"Minggu lepas saya pulang ke asrama ayah tidak hantar sebab rumah dan asrama dekat. Baru-baru ini iaitu hari Khamis, ayah cakap dia sakit batu karang.
"Waktu itu saya rasa tidak sedap hati. Ayah juga selalu cakap kalau ayah tidak ada nanti, jaga ibu dan adik-adik elok-elok.
"Emak cuma pesan supaya saya kuat, demi untuk emak. Emak kata emak sudah tiada siapa-siapa lagi," katanya sambil menangis ketika ditemui Astro AWANI di rumah ibu saudaranya di Sama Gagah, dekat Permatang Pauh, Pulau Pinang, malam tadi.
Noorakhirludin, seorang pengurus kanan sebuah syarikat swasta, maut dalam kemalangan pada tengah hari Sabtu ketika dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur.
BACA: Tunggu ayah datang - Anak Noorakhirludin
Menceritakan lebih lanjut, Farah memberitahu, sejam sebelum kejadian, dia ada menghubungi ibunya, Maskiah Mat Saad, 41 tahun, untuk memaklumkan ingin keluar bersama rakan asrama.
Bagaimanapun, tidak lama kemudian, Farah dihubungi seorang guru lelaki yang memaklumkan keluarganya yang dalam perjalanan ke ibu negara terlibat dalam kemalangan.
"Saya tanya cikgu, ada apa-apa yang berlaku ke atas keluarga saya? Cikgu hanya memaklumkan, ibu dan bapa saudara saya akan beritahu kemudian.
"Saya mula rasa tidak sedap hati. Dalam kereta, saya tanya lagi bapa saudara, dan dia hanya berkata, ibu serta ayah terlibat kemalangan dan minta banyak bersabar," katanya.
Tinjauan Astro AWANI mendapati jiran serta rakan Allahyarham mula memenuhi pekarangan rumah bagi menanti ketibaan jenazah.
Difahamkan jenazah akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Sama Gagah, Permatang Pauh.
Allahyarham Noorakhirludin, merupakan salah seorang mangsa yang meninggal dunia dalam kemalangan melibatkan tujuh kenderaan di kilometer 446 Lebuh Raya PLUS.
Beliau dan isterinya serta anak bongsu mereka, Ezzudin, 11, menuju ibu negara untuk melawat seorang lagi anak yang berusia 15 tahun di sebuah sekolah berasrama penuh di Cyberjaya dan seorang anak lelaki, 14 tahun, yang sedang belajar di Pusat Permata Pintar Negara di Bangi.
Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari Sabtu, selain Noorakhirludin, tiga lagi mangsa yang maut ialah Nur Fitrah Rosman, Nurbaya Mohd Zaki dan Mohammad Hafiz Shahrul Jefri Din, semuanya berusia 24 tahun.
BACA: Bakal pengantin pengsan dapat tahu kawan baik maut kemalangan
Sementara itu, seorang kanak-kanak turut cedera parah dan dua yang lain cedera ringan dalam kemalangan itu.
Kejadian dipercayai berlaku apabila treler yang menghala ke arah utara terbabas sebelum memasuki lorong bertentangan ke arah selatan lalu melanggar kenderaan di laluan berkenaan.
#anak arwah #Farah #kemalangan #mangsa kemalangan #maut #Noorakhirludin Alam Mohamad Noor #pesanan
;