"Ayah Cu, kami tak nak balik lagi" - Anak mangsa kemalangan
Nazialita Geynna Maharan
Disember 21, 2016 22:21 MYT
Disember 21, 2016 22:21 MYT
"Ayah Cu kami tak nak balik lagi…"
Itu permintaan Mia Dhelisya Ridzuan, 6, anak sulung daripada tiga beradik yang kini menjadi yatim piatu berikutan insiden kemalangan di Kilometer 371.9 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran susur keluar Slim river sehingga meragut nyawa ibu bapanya.
Abu Bakar Baharom, 36, yang merupakan adik ipar kepada Intan Maizura Aidul Badri, 34, yang maut dalam kemalangan itu bersama suami, Ridzuan Abdul Rajak, 33, memberitahu kemungkinan anak saudaranya tidak menjadi yatim piatu sekiranya tidak pulang awal. Namun sudah tersurat, ajal memisahkan mereka hari itu.
Katanya mereka sekeluarga sepatutnya bertolak dari Taiping ke Shah Alam pada sebelah petang tetapi perjalanan telah diawalkan ke tengahari.
“Anak arwah yang sulung (Mia) panggil saya Ayah Cu.. dia memang tidak mahu balik sebab nak tunggu isteri saya balik dari kerja belah petang. Memang selalu mereka akan balik ke Taiping sebab kampung mama mereka di sana.
“Dia asyik cakap pada saya... Ayah Cu kami tak nak balik sambil merengek-rengek, tapi mama dia mahu juga balik cepat memandangkan cuti sudah habis dan perlu sambung kerja,” kata Abu Bakar yang berasal dari Taiping.
Malah kata Abu Bakar dia sendiri hanya mendapat tahu tentang kejadian itu setelah menonton berita jam 8 malam di rumah dan tidak menyangka individu yang terlibat adalah kakak iparnya.
“Kami memang tak tahu menahu pasal kemalangan maut itu, dalam jam lapan malam baru tahu sebab disebut nama si mati dalam berita, waktu itu kami memang terkejut sangat-sangat,” ujarnya.
Jelasnya, Mia kini masih lagi dalam keadaan koma manakala adik keduanya Ayra Batrisya, 4, patah kaki dan cedera di bahagian muka. Adik bongsu, Rania Elysya, 2, pula patah kedua belah kaki serta luka di kepala dan pipi.
“Setakat ini Mia masih koma dan mengikut apa yang doktor cakap tulang rusuknya patah, sebelah buah pinggang mungkin rosak, namun kami masih lagi tunggu keputusan pakar yang akan datang dan periksa keadaan dia.
Soal penjagaan tiga beradik ini juga masih belum diputuskan kerana kami masih dalam proses menguruskan jenazah ibu bapanya dan insyaAllah kami akan sekeluarga akan berbincang tentang soal itu setelah mereka pulih,” katanya.
Jelas Abu Bakar, pasangan suami isteri itu dikebumikan di tanah perkuburan Slim River bagi memudahkan kedua- dua belah keluarga menziarah pusara.