Ayah 'call' 9 kali, kami tak perasan... - Anak mangsa nahas helikopter terkilan
Fauzi Suhaimi
November 9, 2020 18:33 MYT
November 9, 2020 18:33 MYT
SUBANG JAYA: “Ayah call (buat panggilan) sembilan kali, kami tak perasan, kami amat terkilan.”
Itu luahan anak sulung mangsa nahas helikopter, Farid Ridhwan Mohd Irfan, 15, yang terkilan kerana tidak sempat menyambut panggilan ‘terakhir’ ayahnya sebelum terkorban dalam nahas helikopter di Taman Melawati, di sini pada Ahad.
Farid Ridhwan berkata, ketika itu dia bersama keluarga berada di rumah dan langsung tidak hiraukan telefon.
“Sebelum kejadian, ayah ada telefon ibu sembilan kali, tapi kami tidak perasan.
“Kami tahu masa itu sudah terlambat. Helikopter ayah naik sudah jatuh,” katanya ketika ditemui selepas upacara pengebumian jenazah Allahyarham Mohd Irfan Mohamed Rawi, 41, di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, di sini.
Farid Ridhwan menambah, ayahnya juga turut berjanji untuk bawa keluarganya memancing pada sebelah petang.
“Pada malam sebelum ayah hendak pergi, ayah ada janji mahu bawa kami pergi memancing pada petang esoknya (selepas selesai latihan penerbangan), tetapi janji itu tidak kesampaian. Ayah dah tiada,” katanya dalam nada sebak.
Terdahulu, jenazah Allahyarham Mohd Irfan, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam USJ22, Subang Jaya, dekat sini hari ini sekitar pukul 5 petang tadi.
Suasana pilu menyelubungi upacara pengebumian Allahyarham yang dihadiri kira-kira 30 ahli keluarga, kenalan terdekat bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Wan Nani Bazlin Wan Mahmud, 44, dan empat anaknya yang lain iaitu Farhan Hasif, 13; Faeqaa Batrisya, 9; Farah Sofea, 7; dan Falisha Hani, 3.
Hadir sama dalam upacara itu ibu Allahyarham, Nafisah Hamat, 73.
Sementara itu, Nafisah berkata, dia mengetahui insiden membabitkan anaknya itu apabila tular dalam media sosial.
“Saya ada bertanya pada anak-anak saya yang lain, tapi mereka cuba sembunyikan dari saya. Mereka diam apabila saya tanya kerana bimbang akan kesihatan saya.
“Tetapi saya tahu dan dapat rasa kejadian itu melibatkan anak saya,” ujarnya.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.20 pagi itu, dua helikopter yang berlepas dari Lapangan Terbang Subang Jaya ke Genting Sempah dipercayai bertembung di udara sebelum salah sebuah terhempas di Taman Melawati.
Dua mangsa disahkan maut iaitu Mohd Irfan dan Mohd Sabri Baharom, 56.
Sebuah lagi helikopter dinaiki bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad, Datuk Ahmad Jauhari Yahya dan Tan Chai Elan sempat membuat pendaratan cemas dan mereka dilaporkan tidak mengalami kecederaan.
#nahas helikopter
#perintah kawalan pergerakan bersyarat
#SOP
#jenazah
#keluarga
#Nahas
#PKPB
#perintah kawalan pergerakan
#nahas helikopter Taman Melawati
#Taman Melawati
#Mohd Irwan