Axis-REIT buat pembelian terbesar dengan pengambilalihan gudang PTP pada harga RM390 juta
Bernama
April 12, 2022 08:20 MYT
April 12, 2022 08:20 MYT
KUALA LUMPUR: Pemegang amanah Axis Real Estate Investment Trust (Axis-REIT), RHB Trustees Bhd, memeterai perjanjian jual dan beli bagi membeli kemudahan gudang logistik berkeluasan 1.55 juta kaki persegi di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor, daripada Equalbase PTP Sdn Bhd (EPSB) pada harga RM390 juta.
Amanah pelaburan hartanah itu berkata sebaik selesai cadangan pembelian itu, yang dijangka pada pertengahan 2022, hartanah itu akan dipajak semula kepada EPSB untuk tempoh tetap selama 10 tahun.
"Sewa bulanan permulaan ialah RM2.17 juta untuk tiga tahun pertama dengan pelarasan menaik seterusnya pada permulaan tahun keempat hingga tahun ke-10," katanya dalam satu kenyataan.
Hartanah itu terletak secara strategik dalam Zon Perdagangan Bebas PTP dan berdekatan dengan pusat pemeriksaan Tuas di Singapura, dan merupakan bangunan hijau yang diperakui Indeks Bangunan Hijau (GBI), selaras dengan matlamat dan strategi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) Axis-REIT.
Terletak di atas tanah pajakan seluas 7.45 hektar, hartanah itu merangkumi gudang dua tingkat yang dijadikan ruang pejabat tiga tingkat, tempat letak kereta yang terlindung, dan pejabat beserta bangunan sampingan.
Hartanah yang dibina kira-kira tiga tahun lepas itu, sesuai untuk dijadikan gudang kerana ia dilengkapi dengan 83 ruang punggah yang dilengkapi dengan perata dok hidraulik dan sistem pemercik tindak balas pantas penindasan awal (ESFR).
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Axis REIT Managers Bhd Leong Kit May memaklumkan bahawa pembelian itu akan menjadi yang terbesar setakat ini sejak penubuhan dana itu.
"Axis-REIT berhasrat untuk berkembang dengan pembelian hartanah berkualiti tinggi yang menambah pendapatan dan dengan cadangan nilai yang kukuh," kata Leong.
-- BERNAMA