Axia terbakar di Jambatan Pulau Pinang, empat nyaris maut

Dewi Nur Harasha Alias
Februari 23, 2023 14:24 MYT
Dianggarkan Perodua Axia yang terbabit dalam kemalangan hangus 90 peratus. - Foto JBPM
GEORGE TOWN: Empat mangsa nyaris maut apabila kereta jenis Perodua Axia yang dinaiki mereka terbakar selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 3 Jambatan Pulau Pinang berhampiran kawasan perusahaan Perai, awal pagi tadi.
Bagaimanapun dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi tadi, kesemua mangsa terdiri daripada tiga wanita dan seorang lelaki itu berjaya diselamatkan dengan bantuan orang awam.
Menurut Penolong Pengarah Operasi Negeri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohd. Hafiz Hafizal Timaradin, kemalangan berlaku membabitkan kenderaan yang dinaiki mangsa dengan sebuah kereta jenis Mercedes Benz.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 1.08 pagi.
"Apabila Pasukan Bomba dan Penyelamat tiba di tempat kejadian, didapati kebakaran melibatkan sebuah kereta Perodua Axia berpunca dari kemalangan jalanr aya. Anggaran peratusan kemusnahan kebakaran kereta dianggarkan 90 peratus," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
"Terdapat empat orang mangsa di dalam kenderaan Perodua Axia, namun kesemua mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba di lokasi," ujarnya.
Menurutnya, operasi menyelamat mangsa membabitkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai.
Kebakaran dapat dikawal pada jam 1.19 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.20 pagi.
Kesemua mangsa yang mengalami cedera ringan dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
#Axia terbakar #Jambatan Pulau Pinang #Bomba Pulau Pinang #empat nyaris maut
;