Awie Ride: Konvoi perangi scammer bakal jadi acara tahunan

Bernama
Ogos 3, 2022 13:18 MYT
Datuk Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman berkata beliau dan pasukannya yakin lebih banyak kesedaran dapat ditingkatkan sekiranya usaha itu berhasil dilaksanakan. - Facebook Awie Al Pamalo
KUALA LUMPUR: Kempen Pencegahan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2022 @ Awie Ride yang bertujuan memberi penerangan dan meningkatkan kefahaman masyarakat khususnya di luar bandar terhadap risiko ditipu scammer (sindiket penipuan) bakal dijadikan program tahunan.
Penyanyi Datuk Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman berkata beliau dan pasukannya yakin lebih banyak kesedaran dapat ditingkatkan sekiranya usaha itu berhasil dilaksanakan.
"Kami juga berusaha untuk masuk ke Sabah dan Sarawak kalau ada ruang dan peluang namun masih di peringkat perbincangan dengan penaja memandangkan isu logistik untuk ke sana," katanya kepada Bernama selepas menamatkan konvoi fasa tiga dari selatan tanah air di Stesen Petronas Plaza Tol Sungai Besi, di sini tengah malam tadi.
Menurutnya konvoi melibatkan kira-kira 100 motosikal berkuasa tinggi itu, berkesan dan berjaya mencapai matlamatnya susulan penerimaan baik orang ramai yang hadir di kesemua 10 siri ceramah di Semenanjung Malaysia.
"Bermula dari fasa satu di utara, fasa dua di pantai timur dan terakhir di selatan, kami nampak ramai mula sedar apa yang dilakukan pasukan. Orang ramai hadir bukan sekadar tengok motor besar tetapi apabila saya bercakap mengenai bahaya scammer, mereka mendengar dan ambil tahu.
"Nak hapuskan 100 peratus mungkin bukan sekarang tapi dengan kesedaran yang ada akan menjadikan orang ramai lebih bijak daripada ditipu (scammer)," katanya.
-- BERNAMA
#Awie #awie ride #perangi scammer #PDRM
;