AWER: Paras empangan kritikal, catuan air perlu disegerakan

Tan Su Lin
Julai 31, 2014 07:41 MYT
Persatuan Penyelidikan Air Dan Tenaga Malaysia (Awer) mengesyorkan kerajaan negeri Selangor agar melaksanakan catuan air dengan segera. - File Photo
Persatuan Penyelidikan Air Dan Tenaga Malaysia (Awer) mengesyorkan kerajaan negeri Selangor agar melaksanakan catuan air dengan segera.
Ia berikutan beberapa empangan di Selangor semakin menyusut akibat musim panas dan kering yang melanda negara.
Statistik Lembaga Urus Air Selangor, LUAS menunjukkan Empangan Sungai Selangor yang membekalkan air kepada 60 peratus pengguna di Lembah Kelang kini mencecah paras 33 peratus manakala Empangan Sungai Tinggi berada pada paras 47 peratus.
Ia merupakan dua daripada lapan empangan di Selangor yang berada di bawah paras minimum 55 peratus sejak pelan catuan bekalan air ditamatkan pada April lepas.
Menurut statistik berkenaan, paras air di Empangan Sungai Selangor mencatatkan kemerosotan sebanyak 7 peratus jika dibandingkan dengan data direkodkan, awal Mei lepas.
Ia merekodkan paras air empangan terendah dalam sejarah 10 tahun sekaligus mengundang risiko krisis air terburuk sejak 1997/1998.
Manakala paras air di Empangan Sungai Tinggi pula merosot sebanyak 17 peratus dalam tempoh yang sama. Sementara enam lagi empangan di Selangor berada di atas paras minimum.
Menurut Presiden Awer, S. Piarapakaran kerajaan negeri kini tiada pilihan untuk melaksanakan catuan air berikutan paras air empangan semakin menyusut biarpun hujan turun beberapa hari kebelakangan ini.
"Kalau kita lewatkan lagi dan jika berlaku pengurangan hujan kita akan menghadapi masalah besar sebab sebelum ini musim monsun perantaraan sepatutnya bawa hujan lebat tetapi ia tidak dapat menaikkan paras empangan dan satu lagi monson perantaraan dijangka pada bulan September hingga November nanti dan jika monsun ini tidak membantu, kita akan menghadapi situasi tidak menyenangkan mungkin lebih teruk daripada apa yang telah kita lalui sebelum ini." kata Piarapakaran.
Namun kini timbul pula isu penukaran menteri besar selangor yang dibimbangi akan menjejaskan rundingan penstrukturan semula air yang berada di peringkat akhir.
"Apa boleh kita harapkan apa-apa perubahan kepimpinan di Selangor ia membawa kepada penyelesaian segera.
Krisis air ini isu teknikal dan di Lembah Kelang kita mempunyai masalah tidak cukup antara bekalan air terawat dan permintaan. Kita perlu selesaikan masalah ini kalau tidak setiap tahun perkara ini akan berulang dan lebih teruk setiap kali musim kering berlaku." tambahnya.
Catuan air pertama pada Mac tahun ini dilaksanakan apabila paras empangan mencecah 46 peratus.
Situasi kali ini lebih buruk apabila Empangan Sungai Selangor hanya berbaki 3 peratus untuk mencapai paras kritikal namun masih tiada pengumuman mengenai pelaksanaan catuan air.
Bagaimanapun Piarapakaran mengesyorkan agar notis diberikan sekurang-kurangnya seminggu sebelum pelaksanaan catuan air sebagai persediaan kepada pengguna.
#AWER #Empangan Selangor #Empangan Sungai Tinggi #Lembah Kelang #LUAS
;