Awasi anak-anak semasa musim banjir - JBPM Selangor

Bernama
Oktober 26, 2019 20:55 MYT
Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata berdasarkan pemantauan pihaknya mendapati terdapat kanak-kanak bermain air banjir tanpa memikirkan risiko yang mungkin dihadapi. - Astro AWANI
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menasihati orang ramai yang tinggal di kawasan yang dilanda banjir supaya mengawasi anak-anak mereka bermain air banjir bagi mengelakkan daripada sebarang kejadian yang tidak diingini.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata berdasarkan pemantauan pihaknya mendapati terdapat kanak-kanak bermain air banjir tanpa memikirkan risiko yang mungkin dihadapi.
"Ibu bapa perlu mengawasi anak-anak mereka semasa musim banjir ini... kita tidak mahu ada kejadian lemas atau hilang dibawa arus air banjir kerana di musim banjir ini keadaan air sukar diramal, malah kedudukan parit-parit dan sungai juga tidak jelas kerana ia telah melimpah dan ini mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak yang bermain air banjir," katanya ketika ditemui di Kampung Parit Mahang di sini pada Sabtu.
Kampung berkenaan merupakan kawasan yang paling teruk terjejas setakat ini dengan seramai 305 mangsa dari 83 keluarga terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Parit Mahang sejak petang semalam.
Sementara itu seorang mangsa banjir, Jumali Ghani, 60 berkata rumahnya dinaiki air dengan cepat pada lewat petang semalam.
"Semalam kira-kira pukul 7 petang air tiba-tiba naik sehingga ke paras buku lali, nasib baik saya dan anak telah awal-awal kemaskan barang-barang penting dan letakkan di tempat tinggi, katanya ketika ditemui di PPS berkenaan.
-- BERNAMA
#banjir #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #JBPM #Malaysia #mangsa banjir #pusat pemindahan