Awas! Tindakan tegas tanpa kompromi selepas 4 Februari

Hasimi Muhamad
Februari 1, 2021 14:25 MYT
ISMAIL: Apa hukuman itu, mungkin IGP sendiri akan umum sebab ia melibatkan Ordinan Darurat. - Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Tindakan lebih tegas akan diambil tanpa kompromi selepas 4 Febuari ini terhadap mana-mana individu dan syarikat yang berikutan peningkatan kes COVID-19.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, nilai kompaun terhadap individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) sedang di peringkat perbincangan ketika ini.
Jelas beliau, perkara itu dijangka diumum oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dalam masa terdekat.
“IGP ada menyebut tentang kompaun akan ditambah apabila dibawa ke mahkamah, akan dikenakan hukuman yang lebih berat.
“Apa hukuman itu, mungkin IGP sendiri akan umum sebab ia melibatkan Ordinan Darurat.
“Akta sekarang (kompaun) terlalu rendah iaitu RM1,000,” katanya dalam sidang media di sini, pada Isnin.
Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata setakat ini kenaikan nilai kompaun masih belum diputuskan.
Jelas beliau lagi, kenaikan kompaun itu juga susulan banyak syarikat besar dilihat berkemampuan membayar kompaun sebanyak RM1,000 setiap kali melakukan kesalahan SOP PKP.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri bagaimanapun berkata, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan kompaun yang dikenakan boleh membuat rayuan atau mencabarnya di mahkamah.
“Polis mengeluarkan saman di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) di bawah Kementerian Kesihatan (KKM), jadi merayu kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan sebagainya untuk kurangkan (kompaun).
“Yang kompaun RM1,000 adalah maksimum, macam pihak polis kadang-kadang kita kompaun RM1,000, tetapi buat rayuan ia boleh dikurang.
“Kita serah kepada Pejabat Kesihatan untuk memberikan pengurangan, kalau tak setuju (dengan kompaun) juga mereka boleh mencabar di mahkamah,” jelasnya.
#pandemik #COVID-19 #ismail sabri yaakob #tindakan tegas #ingkar PKP #PKP #SOP #Ketua Polis Negara #Abdul Hamid Bador #kompaun #Ordinan Darurat
;