Awas, Sindrom Terowong Carpal serang saraf median tangan!

Astro Awani
Januari 28, 2021 11:41 MYT
Dr Mohamed Faizal menyarankan kepada orang ramai agar peka mengenai penyakit CTS dan tidak menaip terlalu lama bagi mengelakkan ia menyerang. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Individu yang sering menaip di komputer riba dan gajet dalam kerja seharian, terdedah kepada risiko mendapat Sindrom Terowong Carpal (CTS).
Menurut Pakar Ortopedik Uitm Private Specialist Centre (UPSC) Dr Mohamed Faizal Sikkandar, antara faktor penyebab sindrom ini adalah pergerakan tangan yang berulang tanpa rehat yang cukup.
Menurut Dr Mohamed Faizal, Sindrom Carpal Tunnel merupakan sesuatu keadaan di mana berlakunya tekanan kepada saraf median dalam pergelangan tangan seseorang menyebabkan rasa sakit dan kebas.
Ia seterusnya memberi kesan kepada pergerakan dan deria rasa ibu jari dan tiga jari yang pertama iaitu jari telunjuk, jari tengah dan jari manis.
“Sekarang kita musim bekerja dari rumah memang ramai daripada kita menggunakan laptop dan gajet untuk bekerja, kalau ikut teorinya antara risiko yang menyumbang kepada CTS ini termasuklah pergerakan tangan yang berulang-ulang tanpa berehat, dalam hal ini menaip terlalu lama tanpa berehat.
“Selain itu, risiko yang dikaitkan dengan CTS adalah penggunaan mesin yang bergetar seperti mesin gerudi tanah, yang mana ini boleh menyebabkan saraf median terganggu di pergelangan tangan,” katanya.
Saran Dr Mohamed Faizal, orang ramai perlu peka mengenai penyakit ini dan tidak menaip terlalu lama bagi mengelakkan ia menyerang.
“Kita harus mengurangkan faktor penyakit ini tercetus. Kalau kita rasa kita menaip terlalu lama, kena berehat sebentar. Saranannya, setiap dua jam, ambil masa 5-10 minit untuk rehatkan pergelangan tangan.
“Kita tidak seharusnya simpan sakit berkenaan. Beli mousepad yang mesra terowong carpal untuk pergelangan tangan berehat ketika melakukan pekerjaan. Dan pakai splint tangan yang sesuai,” jelasnya.
Beberapa kerja yang berisiko mendapat CTS adalah tukang jahit, pelukis, pemuzik, pemain gitar, pemain piano dan pekerjaan lain yang melibatkan pergerakan pergelangan tangan seperti memasang atau memandu jentera berat.
Mereka yang mempunyai simptom dinasihatkan segara berjumpa dengan pakar dan dapatkan rawatan yang bersesuaian.
Kegagalan merawat simptom ini berpotensi menyebabkan kerosakan kekal pada saraf median.
#Sindrom Terowong Carpal #CTS #Syndrom Carpal Tunnel #Pakar Ortopedik #menaip #Komputer Riba #gajet #Mohamed Faizal Sikkandar #jari #kebas #tangan #pergelangan tangan #rehat #kerja #splint #saraf #median #sindrom terowong carpel
;