Awas, samun guna ubat!

Sinar Harian
Jun 28, 2018 14:19 MYT
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, suspek telah menyamun dua lelaki yang mana salah seorang merupakan warga emas. - Foto Sinar Harian
Polis sedang mencari seorang lelaki dipercayai terlibat dalam samun menggunakan racun di sebuah tokong cina di sini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, suspek telah menyamun dua lelaki yang mana salah seorang merupakan warga emas.
Menurutnya, kejadian itu disedari seorang suri rumah yang mendapati bapanya telah tidur dan dalam keadaan khayal sejak pagi kelmarin.
"Wanita berusia 34 tahun itu dihubungi ibunya petang kelmarin dan memberitahu bahawa bapanya hanya tidur dan terbaring sejak pagi. Bimbang dengan keadaan ayahnya, wanita itu bergegas pulang ke rumah keluarganya dari kediamannya di Bayan Lepas.
"Setelah mendapati keadaan bapanya dalam keadaan khayal, dia membawa bapanya itu ke sebuah tokong di Titi Serong. Ketika tiba di tokong tersebut, dia mendapati, pakciknya terbaring di atas lantai dalam keadaannya sama seperti bapanya," katanya ketika dihubungi tadi.
Tambahnya, wanita tersebut membawa bapa dan pakciknya ke Hospital Balik Pulau untuk pemeriksaan lanjut.
"Kedua-dua mangsa berusia 72 dan 56 tahun ditahan di wad hospital terbabit untuk rawatan. Hasil siasatan mendapati, kedua-dua mangsa telah diberikan lima biji pil setiap seorang oleh suspek.
"Pil tersebut dipercayai ubat untuk pesakit yang menghidap strok. Jika bukan pesakit yang menelannya, ia akan membuatkan seseorang itu hilang kawalan diri," katanya.
Anbalagan berkata, ujian air kencing salah seorang daripada mangsa mengandungi bahan Benzodiazepine, iaitu bahan aktif pembuatan pil tidur.
"Setelah memberi pil tersebut kepada mangsa, mangsa berada dalam keadaan khayal dan ketika itulah suspek mengambil wang dari kedua-dua mereka.
"Sehubungan itu, kita sedang mengesan mangsa dan identitinya juga belum dikenalpasti. Polis memohon kepada orang ramai yang mempunyai maklumat tentang lelaki ini (suspek), agar memaklumkannya di balai polis terdekat," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 328 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dengan menggunakan racun dengan niat hendak melakukan kesalahan.
#Anbalagan #Hospital #Ketua Polis Daerah Barat Daya #mangsa #siasatan #wanita #warga emas
;