Awas pengusaha dobi ingkar!
Sinar Harian
September 21, 2018 10:14 MYT
September 21, 2018 10:14 MYT
Pengusaha kedai dobi layan diri yang masih menggunakan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi sebagai bahan api dalam operasi syarikat boleh didenda sehingga RM1 juta di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Tanah Merah, Wan Mohd Marzuki Wan Abdul Kadir berkata, LPG bersubsidi hanya untuk kegunaan isi rumah.
Menurutnya, larangan dan amaran itu bertujuan membanteras penggunaan LPG bersubsidi yang juga selama ini menyumbang kerugian kepada kerajaan.
"Kementerian telah menetapkan syarikat dobi menggunakan LPG industri sebagai bahan api dalam operasi syarikat dan bukannya gas LPG bersubsidi sejak Mei lalu.
"Kebiasaannya gas LPG ini digunakan oleh kedai dobi untuk mesin pengering pakaian.
"Kita sasarkan 70 peratus pengusaha industri ini dapat beralih kepada penggunaan LPG industri walaupun ia melibatkan sedikit kos untuk pemasangan tong gas yang bersaiz 50 kilogram," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi dialog bersama 15 pengusaha dobi layan diri dengan pembekal LPG di sini.
Wan Mohd Marzuki berkata, pihaknya juga telah mengadakan pemeriksaan terhadap 15 premis dobi dan meminta pengusaha terlibat memohon permit am pembelian dan penggunaan gas LPG.
"Masih ada yang menggunakan gas LPG bersubsidi di kedai-kedai dobi buat masa ini.
"Kita akan membuat pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi memastikan pengusaha dobi berkenaan mengikut peraturan. Jika masih ingkar maka kita tidak akan berkompromi dan akan kenakan denda," katanya.
#dobi layan diri
#gas petroleum cecair
#KPDNHEP
#LPG
#LPG bersubsidi
#tong gas 50 kilogram
#Wan Mohd Marzuki