AWAS, KEJARA sedarkan pemandu jalan raya - Liow
Wan Syamsul Amly
April 17, 2017 06:17 MYT
April 17, 2017 06:17 MYT
Keberkesanan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) akan dimaklumkan dalam masa sebulan selepas pelaksanaannya.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pemantauan awal mendapati kebanyakan pemandu sudah mematuhi had laju dan peraturan jalan raya sejak ia dikuat kuasa 15 April lepas.
"Saya rasa cukup senang hati apabila kita memperkenalkan AWAS dan KEJARA kerana ia memberi kesedaran kepada pemandu.
"Lain kali kerajaan tidak perlu penguatkuasaan lagi. Kita tidak mahu menghukum. Sistem ini memberi impak kepada pemandu. Saya akan beri statistik dalam sebulan," katanya semasa sidang media selepas Majlis Dialog TN50 di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC) di sini pada Isnin.
Mana-mana pesalah yang melanggar undang-undang lalu lintas kali pertama akan dipotong mata demerit serta diberi amaran, manakala kesalahan kedua akan disaman, dan sekiranya masih lagi melakukan kesalahan, lesen memandu mereka akan digantung.
Selain itu, apabila dua sistem itu diselaraskan, pesalah trafik yang gagal membayar saman akan disenaraihitamkan dan tidak dibenarkan memperbaharui lesen memandu secara automatik.
Pelaksanaan kedua-dua sistem itu juga akan turut memberi tumpuan terhadap kesalahan lalu lintas melanggar lampu isyarat serta memandu melebihi had laju dibenarkan.
#AWAS
#kejara
#Liow Tiong Lai
#Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik
#Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya