Awas dengan iklan tawaran ibadat korban - PPIM
Raja Hisyam Raja Zaid
Jun 24, 2020 19:28 MYT
Jun 24, 2020 19:28 MYT
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa pihak berkuasa agama mewujudkan garis panduan penganjuran pakej ibadat korban termasuk di luar negara bagi mengelakkan penipuan.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata cadangan itu berikutan pihaknya menerima aduan kebimbangan orang ramai terhadap penganjur yang menawarkan pakej korban meragukan.
"PPIM telah menerima aduan mengenai kebimbangan terhadap tawaran yang diiklankan sesetengah pihak ketika ini. Saya rasa kita perlu dapatkan garis panduan daripada pihak berwajib.
"Kita tak kata semua macam itu tetapi apa jaminan wang yang diberikan (kepada penganjur) itu akan digunakan untuk ibadat korban terutamanya yang di luar negara," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini, pada Rabu.
Jelas Nadzim, kebimbangan itu berasas memandangkan trend penipuan membabitkan agama termasuk penganjuran pakej haji dan umrah juga kerap berlaku.
“(Sesetengah pihak) Seolah-olah tiada pantang-larang. Pakej umrah dan haji pun mereka sanggup tipu inikan pula hal ibadat lain termasuk korban," katanya.
Nadzim juga menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan tawaran yang diiklankan supaya tidak tertipu dengan mereka yang mengambil kesempatan lebih-lebih lagi menjelang Aidiladha tidak lama lagi.
“Saya minta orang ramai supaya berurusan dengan mereka yang benar-benar bertanggungjawab dan jujur, atau mereka yang sudah dikenali untuk melakukan ibadat korban," katanya.
#Aidiladha
#Astro
#Astro Awani
#Ibadah Korban
#Islam
#Malaysia
#mangsa
#Media
#media sosial
#PPIM
#umrah