Awas! Anak anda mungkin diculik 'pemandu bas sekolah'

Hamzah Hamid
Januari 30, 2015 09:19 MYT
Ibu bapa atau penjaga perlu mengambil tahu rupa dan nombor pendaftaran bas, wajah pengusaha dan pemandu bas serta memiliki nombor telefon mereka. -Gambar hiasan
Dua hari lalu, tersebar cerita melalui rantaian saluran media sosial mengenai kes percubaan menculik seorang budak oleh pihak yang menyamar menggunakan van sekolah.
Menurut cerita tersebut, van yang dibawa pemandu dengan niat yang mencurigakan itu dilaporkan tiba pada waktu Subuh di depan rumah di sebuah kejiranan di Cheras jauh lebih awal daripada biasa.
Mujur, datuk kepada budak sekolah itu mengesyaki sesuatu apabila van itu kosong sedangkan sepatutnya, giliran menjemput cucunya adalah yang terakhir dan van itu seharusnya sudah dipenuhi murid lain.
Datuk kepada murid sekolah itu enggan membiarkan cucunya menaiki van tersebut, walaupun cuba dipujuk berkali-kali oleh pemandu van tersebut.
Setelah berlaku sedikit kekecohan, ditambah pula dengan ibu bapa jiran yang keluar melihat keadaan tersebut, pemandu van itu segera meninggalkan kawasan kejiranan itu.
Jika tersilap percaturan, modus operandi ‘pemandu’ tersebut mungkin berjaya dan murid sekolah itu mungkin sudah menjadi mangsa penculikan.
Apakah langkah yang boleh diambil oleh pihak ibu bapa atau penjaga untuk mengelakkan hal ini daripada terjadi?
Langkah keselamatan
Menurut Presiden Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPBSM), Amali Munif Rahmat ada beberapa perkara dan langkah penting yang boleh diberi perhatian oleh ibu bapa demi memastikan anak-anak mereka selamat sewaktu pergi dan pulang dari sekolah.
“Merujuk kepada kes tersebut, bas sekolah yang tiba jauh lebih awal daripada biasa adalah suatu kemungkinan yang sangat jarang atau tidak mungkin berlaku. Lebih lambat mungkin ada kerana banyak kes budak-budak sekolah yang lewat bersiap,” katanya.
Selain itu, menurut Amali, ibu bapa atau penjaga perlu ambil tahu beberapa butiran penting mengenai perkhidmatan bas sekolah yang didaftarkan untuk dinaiki anak-anak mereka.
Bukan sahaja perlu ambil tahu rupa dan nombor pendaftaran bas, ibu bapa juga perlu mempunyai nombor telefon tuan punya syarikat perkhidmatan dan pekerjanya termasuk pemandu bas.
“Dalam kemungkinan lain, jika pertukaran bas berlaku atas sebab kerosakan lihat pada pemandunya. Pastikan orang yang sama. Jika pemandu bas bertukar atas sebab sakit atau seumpamanya, lihat pada rupa dan nombor bas.
“Namun, selalunya perkhidmatan bas sekolah ini tidak hanya ada seorang pemandu, malah disertai seorang lagi pekerja syarikat perkhidmatan tersebut.
“Maka, ibu bapa perlu mengenali wajah mereka sewaktu mendaftar,” jelas Amali sambil menambah pihak pengusaha perlu memberitahu ibu bapa lebih awal jika berlaku sebarang pertukaran tertentu.
Begitupun, kata Amali, adalah sukar bagi pihak pengendali bas sekolah untuk menukar pemandu bas sesuka hati. Mereka perlu dilatih selama berbulan-bulan untuk diuji skil memandu, mengenal laluan perjalanan sebelum disahkan bekerja dan diperkenalkan kepada ibu bapa.
Pihak pengusaha bas sekolah juga, menurut Amali, harus mempunyai nombor telefon ibu bapa murid sekolah yang menaiki bas mereka.
Jika berlaku kemungkinan pertukaran pada saat akhir misalnya, pengusaha bas sekolah yang bertanggungjawab akan menghubungi semua ibu bapa khususnya murid pertama yang menaiki bas tersebut.
Dalam apa juga kemungkinan buruk lain, pastikan bertindak segera dengan melaporkannya kepada pihak berkuasa.
#bas sekolah #culik #ibu bapa #Kanak-kanak #pemandu #PPBSM
;