Awas! 3,000 km persegi Hutan Belum dilengkapi kamera

Azizul Azwa
Julai 28, 2024 12:30 MYT
Sejak tahun 2020, lebih 250 unit kamera digital dipasang membabitkan keluasan lebih 3,000 kilometer persegi. - Foto ihsan WWF Malaysia
GERIK: Menyedari Hutan Royal Belum sebagai benteng terakhir Harimau Malaya, mahu atau tidak, penggunaan teknologi menjadi keutamaan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF).
Sejak tahun 2020, lebih 250 unit kamera digital dipasang membabitkan keluasan lebih 3,000 kilometer persegi.
Pemasangan kamera bertujuan merakam pergerakan habitat, binatang liar, khususnya Harimau Malaya di lokasi yang dikenal pasti.
Secara purata, kira-kira lima ribu gambar dirakam untuk tempoh tiga bulan.
Bagaimanapun jumlah gambar bergantung kepada kekerapan binatang melintas di lokasi kamera.
Menurut Ahli Biologi Lapangan Kanan, WWF Malaysia, Muhamad Afif Wafiy Mohamad Taib, kamera digital memiliki dua sensor, iaitu mengesan pergerakan dan panas.
Seramai 133 renger Orang Asli suku kaum Jahai ditugaskan memasang kamera, memproses gambar di lokasi dan menukar bateri.
''Jumlah bateri yang dipasang biasanya boleh bertahan tiga atau empat bulan, malah kalau kalau kita pasang full (penuh) boleh tahan setahun, tapi bergantung kepada trafik.
"Semakin banyak binatang, semakin banyak foto diambil, bateri juga akan cepat habis. Kita akan cuci kamera untuk pastikan boleh berfungsi lagi empat bulan.
"Setiap kamera yang dipasang pada pokok akan ikut ketinggian harimau, sebab sasaran kita adalah harimau," katanya.
Selain bertanggungjawab memasang kamera, ranger juga melakukan rondaan selama 15 hari setiap bulan.
Kunci kamera juga sangat spesifik untuk memastikan tidak dilarikan oleh binatang.
Ada 25 pasukan yang melakukan rondaan.
Manakala satu pasukan berada di pengkalan sebagai respond untuk memberikan maklumat, terutama jika ada pemburuan haram dan kecemasan.
Yahya Charol, antara Orang Asli yang bertugas sebagai ranger berkata beliau sendiri ada pengalaman berdepan harimau ketika memasang melakukan rondaan.
"Saya banyak kali jumpa harimau ketika melakukan rondaan. Masa tu saya dengan team, mula-mula masuk jalan-jalan, tepi sungai, ada ada tapak baru lagi kita tahu lah. Kita dengar punya bunyi ngauman.
"Bunyi dia memang kuat macam kapal terbang," katanya.
Walaupun takut berdepan Harimau Malaya, beliau lebih takut sekiranya tidak lagi mendengar ngauman di hutan.
Itu petanda Harimau Malaya pupus.
#harimau Malaya #World Wildlife Fund #Kepupusan harimau malaya #kamera digital