AWANIxWWF: Usaha pemuliharaan orang utan di Sabah dan Sarawak diteruskan
WWF Malaysia
Ogos 19, 2021 12:22 MYT
Ogos 19, 2021 12:22 MYT
DALAM bidang pemuliharaan biodiversiti, negeri Sabah dan Sarawak mempunyai banyak perkara yang boleh dibanggakan.
Negeri-negeri ini bukan hanya rumah bagi ekosistem yang memiliki kekayaan flora dan fauna yang melimpah, tetapi juga habitat bagi orang utan Borneo, iaitu mamalia terbesar di dunia yang hidup di atas pokok. Dikenali sebagai salah satu daripada tiga spesies orang utan, orang utan Borneo ialah satu-satunya genus mawas terbesar yang berasal dari Asia.
Terdapat tiga sub-spesies orang utan Borneo, iaitu Pongo pygmaeus morio yang boleh ditemui di Kalimantan Timur dan Sabah. Manakala P. p. pygmaeus boleh dijumpai di Barat Laut Kalimantan dan Sarawak dan P. p. wurmbii di Barat Selatan dan Kalimantan tengah.
Seperti lain-lain spesies di Borneo, orang utan Borneo juga berhadapan dengan ancaman tersendiri sehingga menyebabkan populasinya berkurang sejak beberapa dekad yang lalu. Pada tahun 1973, Borneo merupakan habitat bagi kira-kira 288,500 orang utan. Menjelang tahun 2016, jumlah itu telah menurun hampir dua pertiga, kepada 104,700.
Di Malaysia, populasi orang utan Borneo menunjukkan angka yang positif. Secara kolektifnya, terdapat kira-kira 13,000 orang utan di habitat semula jadi di Sabah dan Sarawak. Angka ini dianggap stabil dan diyakini dapat dikekalkan dengan pelaksanaan amalan pengurusan hutan dan pemuliharaan yang baik, selain meningkatkan usaha memupuk kesedaran awam.
Meskipun bilangan orang utan ini stabil, ia bukan bermakna kita harus mengambil mudah dan tidak berbuat apa-apa. Sebaliknya, ia adalah suatu peringatan untuk kita meningkatkan usaha untuk terus menjamin masa depan populasi orang utan di hutan kita.
Di Sabah, Pengarah Pemuliharaan WWF-Malaysia, Dr. Henry Chan berkata, sebagai sebahagian daripada tiga tonggak (Melindungi, Menghasilkan, Memulihkan) di bawah pendekatan Living Landscapes di Sabah, penghutanan semula ialah antara usaha utama menyokong WWF-Malaysia untuk bergerak ke hadapan dalam pemuliharaan orang utan.
Dua ancaman utama kelangsungan hidup orang utan termasuklah kehilangan habitat akibat penebangan hutan serta penukaran tanah untuk tujuan pertanian dan pembangunan infrastruktur. Sebagai hidupan liar yang hidup di atas pokok, ketersediaan pokok cukup penting bagi orang utan bukan sahaja sebagai tempat perlindungan tetapi juga sebagai sumber makanan dan untuk bergerak.
"Untuk menjamin kelangsungan hidup orang utan, adalah penting untuk kita pastikan bahawa habitat ini dapat menyokong keperluan orang utan selain memulihkan habitat yang rosak," kata Dr Chan.
Bagi WWF-Malaysia, contoh terbaik pemulihan hutan dapat dilihat di hutan simpan di Sabah - Hutan Simpan Bukit Piton.
Terletak di Lahad Datu, Sabah, Hutan Simpan Bukit Piton ialah contoh utama hutan yang mengalami kemusnahan teruk sehingga tahun 2007. Kawasan itu diteroka secara meluas dan pokok ditebang menggunakan amalan yang tidak mampan pada tahun 1980-an. Kebakaran hutan yang disebabkan oleh kemarau memusnahkan lagi kawasan simpanan hingga mengakibatkan degradasi.
Hutan simpan ini juga terpencil dan dikelilingi dengan ladang kelapa sawit di sebelah utara dan timur serta Sungai Segama di selatan. Lebih penting lagi, Bukit Piton turut merupakan habitat bagi sekitar 300 orang utan Borneo.
Masa depan Bukit Piton dengan penempatan habitat orang utan pada ketika itu kelihatan agak suram. Hutan yang diteroka hanya dilihat menarik dari segi ekonomi sekiranya ia dapat dijadikan tanah pertanian. Dari sudut pandang perniagaan, langkah logik seterusnya untuk Bukit Piton ialah mengubahnya menjadi ladang kelapa sawit, sama seperti ladang-ladang yang wujud di sekelilingnya.
Bagaimanapun, orang utan tidak boleh hidup dalam ladang kelapa sawit dan akibatnya terperangkap di kawasan yang terpencil, kerana haiwan itu tiada lagi tempat lain untuk dituju.
Mengiktiraf pentingnya memulihkan semula Bukit Piton untuk pemuliharaan populasi orang utan, WWF-Malaysia bersama Jabatan Hutan Sabah (SFD) menerajui program pemulihan di hutan berkenaan pada tahun 2007.
Kawasan yang terbuka dan terdedah ditanam dengan spesies pokok perintis yang cepat tumbuh seperti Binuang (Octomelessumatrana) dan Laran (Neolamarckiacadamba). Untuk menyokong tabiat makan orang utan, pokok-pokok buah yang merupakan sebahagian diet orang utan termasuk Sengkuang (Dracontomelondao), Terap (Arthocarpus spp.) dan Figs, (Ficus spp.) juga ditanam.
Menurut Pengurus Pemuliharaan Orang Utan WWF-Malaysia, Donna Simon, usaha pemulihan mengambil masa lebih dari sedekad untuk lengkap dan pada tahun 2019, sebanyak 2,400 hektar kawasan Hutan Simpan Bukit Piton telah berjaya dipulihkan.
"Inisiatif pemulihan telah membuahkan hasil. Pokok-pokok tumbuh subur di kawasan ini dan pelbagai haiwan liar juga kelihatan. Tanda kejayaan yang paling penting dapat diperhatikan pada orang utan di sana ialah mereka menggunakan pokok yang ditanam semula sebagai makanan dan tempat tinggal.
"Selain itu, anak-anak orang utan juga dapat dilihat sekali gus menjadi bukti bahawa keadaan spesies itu telah berkembang baik berbanding sebelum ini yang berusaha mati-matian untuk hidup," katanya.
Donna menambah, usaha-usaha untuk memulihara populasi orang utan di Malaysia bagaimanapun tidak terhenti di Bukit Piton.
Di sebelah timur Lahad Datu, usaha dilakukan untuk memulihkan hutan yang rosak dan membina koridor ekologi di Bagahak untuk mengekalkan saling hubung hidupan liar di antara Taman Hidupan Liar Tabin dan Hutan Simpan Silabukan.
Donna menjelaskan, koridor yang berukuran kira-kira lima kilometer panjang dengan lebar kira-kira 200 meter, akan menjadi laluan penting untuk gajah, orang utan dan kegunaan spesies-spesies lain. Projek pemulihan WWF-Malaysia itu akan mengambil masa lima tahun dengan pembiayaan berjumlah lebih daripada RM1.38 juta.
Koridor ekologi akan memastikan pergerakan tetap dan migrasi liar secara berkala tidak dibatasi oleh aktiviti manusia. Pada masa ini, tiada orang utan dikesan di koridor Bagahak kerana ia masih kawasan terbuka dengan tompokan hutan riparian yang dipisahkan di sepanjang sungai kecil.
Bagaimanapun, terdapat sekitar 1,000 orang utan di Hutan Simpan Tabin dan sekitar 50 lagi orang utan di Hutan Simpan Silabukan, justeru, saling hubung antara kedua-dua hutan berkenaan adalah sangat penting untuk mengekalkan aliran gen antara dua populasi orang utan. Selain orang utan, terdapat juga sekumpulan gajah dilihat menggunakan kawasan riparian ini untuk bergerak dari Tabin-Silabukan dan sebaliknya.
Di Sarawak, Dr Henry berkata, WWF-Malaysia sedang berusaha untuk memulihara habitat orang utan di Ulu Sungai Menyang, Batang Ai. Objektifnya adalah untuk menyediakan sumber pendapatan kepada komuniti, dan ini kemudian akan mengurangkan tekanan untuk menukar hutan berdekatan yang juga merupakan habitat kepada orang utan. Di Sarawak, sub-spesies yang boleh ditemui ialah Pongo pygmaeus, dan ia tersenarai sebagai terancam dalam Senarai Merah Spesies Terancam IUCN.
Dianggarkan Sarawak mempunyai kurang daripada 2,000 orang utan yang kebanyakannya mendiami kawasan terlindung atau kawasan dipelihara seperti Taman Negara Batang Ai, Kawasan Perlindungan Hidupan Liar Lanjak Entimau dan Kawasan Pemuliharaan Ulu Sungai Menyang. Tambahan lagi, semua kawasan ini adalah berhampiran dengan komuniti serta berdekatan dengan Kalimantan, Indonesia.
Dr Henry berkata, pada tahun 2016, WWF-Malaysia memulakan projek pemuliharaan perintis yang bercita-cita tinggi yang melibatkan peningkatan kehidupan komuniti di Ulu Sungai Menyang dengan sokongan daripada Jabatan Hutan Sarawak (JHS), komuniti Rumah Manggat dan syarikat swasta.
Projek berkenaan adalah sebahagian daripada Ekonomi Hijau dalam Jantung Borneo (Heart of Borneo) iaitu usaha pemuliharaan rentas sempadan yang dibiayai oleh Kementerian Persekutuan Alam Sekitar, Pemulihan Alam dan Keselamatan Nuklear Jerman.
"Orang utan kebiasaannya akan memasuki ke kawasan ladang di Rumah Manggat dan hutan sekunder terutama pada musim berbuah. Masyarakat rumah panjang menghormati haiwan berkenaan kerana mereka percaya manusia ialah daripada keturunan orang utan," katanya.
Pada 2017, WWF-Malaysia menyediakan sebanyak 11,000 gaharu asli atau benih gaharu (Aquilaria microcarpa) untuk ditanam di tanah rosak seluas 5.5 hektar Rumah Manggat secara berkumpulan dengan bantuan sukarelawan diurus oleh JHS. Semua benih ini adalah tambahan kepada 3,000 benih gaharu yang ditanam lebih awal oleh JHS sebelum itu.
Dr Henry menjelaskan secara tradisionalnya, pokok gaharu akan disuntik untuk menghasilkan kayu aromatik resin bagi penggunaan kemenyan dan minyak wangi.
"Rumah Manggat membuat satu kelainan kerana pokok-pokok ditanam untuk dedaunannya dituai secara mampan bagi menghasilkan teh gaharu organik bermutu tinggi. Teh gaharu memberi sumber pendapatan kepada komuniti, yang seterusnya menghilangkan tekanan daripada masyarakat untuk membuka hutan yang merupakan habitat orang utan bagi kegiatan pertanian berskala besar."
Tuai Rumah Manggat, Manggat Meringai berkata, JHS yang mendekati kampung itu pada tahun 2014 memberitahu mereka bahawa usaha penanaman ladang teh gaharu mempunyai banyak potensi.
"Selepas dua tahun, saya mula mencari jalan untuk mendapatkan bekalan benih. WWF juga menaja kami benih. Pada pandangan saya, hasil kerjasama dengan JHS dan semua organisasi bukan kerajaan (NGO) terlibat telah memberi ganjaran. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada mereka."
Bagi rumah panjang lain, Manggat berharap mereka akan berminat untuk mencontohi projek pemuliharaan orang-utan dan kehidupan masyarakat.
"Hutan hanya di belakang rumah panjang kami dan ia juga tempat orang utan tinggal, maka, ia tidak harus dijejaskan. Kita mesti belajar untuk hidup dalam harmoni dengan orang utan," tambahnya.
WWF-Malaysia akan meneruskan usaha dengan pelbagai pihak untuk memperkasakan komuniti Rumah Manggat dalam menyediakan ilmu pengetahuan dalam pemantauan pokok dan pengurusan haiwan perosak, memproses teh dan pemasaran serta sukarelawan-eko.
Namun, semuanya bukan semudah itu. Sejak wabak Covid-19 melanda, Rumah Manggat tidak dapat menerima pelancong atau sukarelawan yang berkunjung untuk merasai pengalaman rumah panjang sambil membantu menjaga kebun gaharu.
GALERI FOTO: Orang utan, spesies ikonik tumpuan dunia
Pasukan WWF-Malaysia juga tidak dapat mengembara ke rumah panjang untuk pemantauan bulanan dan melakukan aktiviti untuk meningkatkan keupayaan masyarakat. Namun demikian, pihak WWF-Malaysia tetap optimistik dan terus mencari penyelesaian alternatif untuk menangani semua cabaran ini.
Menurut Dr Henry lagi, usaha pemuliharaan WWF-Malaysia ialah proses jangka masa panjang dan melibatkan ramai pihak berkepentingan sejajar dengan usaha untuk melindungi habitat orang utan, meningkatkan saling hubungannya, mengurangkan pencerobohan dan penukaran tanah oleh masyarakat di kedua-dua negeri berkenaan.
Beliau menambah, terdapat juga rancangan untuk bekerja di kawasan lain iaitu lokasi orang utan juga wujud seperti kompleks taman negara Gunung Lesung-Ulu Sebuyau-Sedilu di Sarawak, dan terlibat dengan pekebun kelapa sawit serta pekebun kecil di sekitarnya agar mereka juga komited dalam usaha memulihara orang utan.
* Hari Orang Utan Antarabangsa disambut setiap tahun pada tarikh 19 Ogos. Acara antarabangsa ini bertujuan mempromosi usaha pemuliharaan spesies terancam itu dan juga habitatnya.