AWANIxWWF: Gajah Borneo, orang utan penghuni tetap landskap hidup Sabah

WWF Malaysia
Ogos 12, 2021 11:00 MYT
Nasib dua spesies istimewa negara ini perlu terus diperjuangkan demi mempertahankan habitat terakhir dan kelangsungan hidup. - WWF Malaysia / Sabah Landscapes Programme / William Joseph
BUNYI burung berkicauan disahut dengan bunyi menderam lembut dari atas dahan pokok kayu. Kelihatan seekor ibu dan anak orang utan berehat dalam sarang yang dibina baharu setiap hari sebagai tempat tidur.
Beberapa meter dari kawasan itu, sekumpulan gajah Borneo kelihatan sedang bergerak melalui kawasan ladang kelapa sawit. Pada ketinggian enam hingga tujuh kaki, gajah Borneo merupakan mamalia darat yang terbesar di kepulauan Borneo.
Walaupun sebilangan besar habitat gajah telah ditukar sama ada untuk pembangunan infrastruktur atau pertanian, gajah-gajah ini masih akan terus menggunakan kawasan yang sama kerana pengetahuan gajah tentang laluan tradisi ini telah diturunkan dari generasi ke generasi.
Inilah landskap hidup Sabah. Kesemua penghuninya termasuk haiwan liar seperti gajah Borneo dan orang utan hidup dalam habitat asalnya yang terus dipulihara menerusi usaha yang dilakukan pelbagai pihak termasuk badan-badan NGO alam sekitar seperti Tabung Alam Sedunia (WWF-Malaysia).
Ini termasuk operasi pemasangan kolar gajah yang dikendalikan WWF-Malaysia di beberapa kawasan tumpuan bagi mengkaji corak pergerakan gajah Borneo yang dianggarkan hanya tinggal 1,500 ekor di hutan Sabah.
Realitinya, kebanyakan habitat asal gajah kini dikelilingi penempatan manusia dan ladang-ladang kelapa sawit sekali gus menimbulkan konflik gajah-manusia. Maklumat daripada kajian ini akan digunakan untuk memberi rekomendasi untuk perancangan guna tanah yang lebih mampan.
Kelangsungan hidup gajah-gajah Borneo ini amat penting dalam mengekalkan kepelbagaian hidupan di Sabah. Begitu juga usaha pemuliharaan habitat bagi orang utan bagi memastikan kelangsungan populasi mereka dalam landskap hidup Sabah.
Sempena Hari Gajah Sedunia dan Hari Orang Utan Antarabangsa pada 12 dan 19 Ogos ini, mari kita ‘kembara’ ke Sabah untuk melihat keadaan kedua-dua spesies yang menjadi ikon Negeri Di Bawah Bayu.
Ikuti pautan ke galeri foto berikut untuk mendekati keunikan dua spesies istimewa ini dan meninjau habitatnya:
GALERI FOTO: Gajah Borneo, 'Gergasi' Rimba Yang Mengharap Dipeduli
GALERI FOTO: Orang Utan, Spesies Ikonik Tumpuan Dunia
#gajah #Orang Utan #hari gajah sedunia #hari orang utan antarabangsa #Sabah #Malaysia #WWF #hidupan liar #khazanah hutan #spesies terlindung #haiwan liar
;