#AWANITA: Jangan pinggirkan mana-mana golongan wanita - Nurul Izzah
Madiha Abdullah
Mac 8, 2019 08:00 MYT
Mac 8, 2019 08:00 MYT
Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, menyeru masyarakat agar tidak meminggirkan mana-mana golongan wanita dalam menyambut Hari Wanita Sedunia, yang disambut hari ini.
Kata Izzah, tidak kira latar belakang, semua wanita wajar dihargai kerana setiap sumbangan mereka memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat dan negara.
"Saya beruntung kerana memiliki keluarga yang mementingkan pendidikan. Tetapi bagaimana pula dengan seorang lagi wanita yang mungkin lebih bijak, namun kerana situasi tertentu, seperti peperangan dan status sebagai pelarian, tidak mendapat akses yang sama.
"Jadi kita perlu memikirkan apa yang mampu kita lakukan untuk mendapat peluang dan perlindungan yang sama," kata Izzah.
Tambah Izzah, posisi yang dijawat oleh seseorang individu merupakan satu tanggungjawab yang akan dipersoalkan satu hari nanti, justeru adalah penting ia digunakan untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik.
"Seorang wanita itu mempunyai banyak tanggungjawab, bukan sahaja kepada anak-anak tetapi juga kepada keluarga, mungkin menjaga ibu dan sebagainya.
"Jangan kita fikir hanya suri rumah atau wanita bekerjaya sahaja layak dihargai. Penghargaan wanita merupakan satu penghargaan secara tidak langsung kepada masyarakat," ujarnya.
Hari Wanita Sedunia disambut setiap tahun pada 8 Mac, dengan tema tahun ini #BalanceForBetter, yang berteraskan keseimbangan jantina bagi lelaki dan wanita.