AWANI 7.45: "MCA perlu tangani isu seperti kos sara hidup"
Astro Awani
Disember 16, 2013 07:08 MYT
Disember 16, 2013 07:08 MYT
MCA perlu menangani isu-isu penting seperti kos sara hidup, agama serta ketelusan pentadbiran bagi memenangi hati komuniti di bandar.
Demikian pandangan Ketua Pengarah Eksekutif Centre for Strategic Engagement (CENSE), Fui K. Soong.
Katanya setakat ini tiada pemimpin dalam MCA yang memperjuangkan isu-isu tersebut disebabkan wujudnya puak dalam parti tersebut.
Bagaimanapun bagi pemilihan MCA kali ini, Fui mengharapkan agar perubahan dilakukan ke arah sebuah parti yang lebih bersatu.
Menyentuh tentang pemilihan parti, Fui berkata pemilihan kali ini bakal memberikan cabaran yang hebat kepada calon yang menang, terutama presiden.
"Orang-orang muda sekarang lebih melihat kepada isu serta agenda seperti kos sara hidup, dan sebagainya," katanya dalam temubual di AWANI 7.45, Isnin.
Pemilihan jawatankuasa pusat MCA yang bakal berlangsung 21 Disember ini, menyaksikan pertandingan tiga penjuru bagi merebut jawatan presiden parti.
Pada pemilihan itu bekas presiden, Datuk Seri Ong Tee Keat yang berharap melakukan kemunculan semula, bakal ditentang Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Gan Ping Sieu.
Pada hari pencalonan parti tersebut, secara keseluruhannya, 186 calon telah mengemukakan borang pencalonan bagi merebut 96 jawatan dalam parti itu.
Daripada 96 jawatan itu, 31 adalah untuk barisan kepimpinan utama MCA, 34 jawatan dalam sayap pemuda dan 31 jawatan dalam sayap wanita.