'Awang Kundur' jadi tarikan pengunjung di Karnival Jerami Kedah 2025
Bernama
Februari 23, 2025 11:00 MYT
Februari 23, 2025 11:00 MYT
Walaupun hujan dan berselut, Karnival Jerami Kedah tetap menerima kunjungan ramai pada hari kedua ia berlangsung di Kampung Teroi, dekat Guar Cempedak, Yan. --fotoBERNAMA
YAN: Saiz dan bunyi yang hampir sama seperti kerbau sebenar membuatkan 'Awang Kundur' yang diperbuat daripada jerami, menjadi antara tarikan pengunjung di Karnival Jerami Kedah 2025 di Kampung Teroi, Guar Chempedak dekat sini.
Pengurus Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) B4 Pengkalan Kundur Amrin Hamdan berkata pihaknya ingin mengetengahkan konsep tradisional yang digunakan dalam pertanian pada zaman dahulu dan kerbau merupakan haiwan yang digunakan untuk melakukan proses membajak sawah.
"Kerbau digunakan untuk membajak sawah sebelum adanya mesin-mesin yang membantu memudahkan petani untuk mengusahakan tanaman sawah seperti sekarang. Memang sudah tiada langsung penggunaan kerbau di Kedah, kalau ada pun hanya untuk demonstrasi sahaja.
"Selepas perbincangan, kami ambil masa dua minggu untuk siapkan replika kerbau ini. Selain kerbau, kami turut menghasilkan dua lagi replika lain iaitu rumah jelapang dan tempat membanting padi yang sangat sinonim dengan penanaman padi tradisional," katanya kepada Bernama.
Amrin berkata kesemua replika dihasilkan menggunakan tiga gulung jerami yang setiap satunya dianggarkan seberat 250 hingga 300 kilogram (kg) dan menelan kos kurang dari RM2,000.
"Proses penghasilan replika jerami ini kami buat di gudang PPK sendiri dan tenaga kerja yang digunakan dalam 20 orang. Kami pecahkan kepada tiga kumpulan dan untuk siapkan kerbau ini sahaja perlukan dalam lapan orang kerana ia memerlukan ketelitian bagi memastikan replika itu sama seperti kerbau sebenar.
"Setakat ini, kita tengok memang ramai pengunjung yang datang melihat dan bergambar dengan 'Awang Kundur'. Sambutan memang sangat menggalakkan dan ini juga merupakan peluang untuk memberi pendedahan kepada generasi muda mengenai cara mengusahakan sawah padi pada zaman dahulu," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Datuk Dr Ismail Salleh berkata karnival yang diadakan selama tiga hari bermula 21 Feb, merupakan antara acara tahunan selepas selesai musim menuai padi di kawasan MADA.
"Sebanyak 12 PPK yang terlibat dan kesemua PPK yang mempunyai mesin penggulung jerami ini, turut menghasilkan replika pelbagai bentuk sempena Karnival Jerami Kedah ini. Saya sendiri kagum dan terkejut melihat kreativiti setiap PPK dan mereka yang terpilih membawa pulang RM3,000 bagi tempat pertama, RM2,000 (tempat kedua), RM1,000 (tempat ketiga) dan yang lain mendapat saguhati.
"Ini satu usaha yang bagus, sebenarnya jerami ini mampu menjadi pendapatan sampingan buat petani. Dahulu, selepas proses menuai padi selesai, jerami akan dibakar tetapi sekarang ia boleh digunakan untuk tujuan lain," katanya.
Sementara itu seorang pengunjung, Salina Ramli, 48, berkata dia datang ke karnival itu bersama suaminya Mazdi Mohd Razali, 48, untuk melihat jerami yang digubah dalam pelbagai bentuk dengan berlatarkan keindahan permandangan sawah dan Gunung Jerai.
"Kami tahu mengenai karnival ini melalui media sosial, sebab itu datang untuk melihat sendiri replika jerami di sini. Memang satu benda yang sangat menarik dan kreatif, tambahan pula Kedah merupakan negeri Jelapang Padi, jadi bagus untuk tarik lebih ramai pelancong ke sini," katanya.
-- BERNAMA