Awang Bemee dilantik sebagai Speaker Dewan Negara baharu

Afiezy Azaman
Julai 22, 2024 02:20 MYT
Beliau merupakan pengamal undang-undang berpengalaman mengendali kes sivil dan jenayah di semua mahkamah hingga Mahkamah Persekutuan. - Foto JAPEN
KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Sarawak Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yang baharu, pada Isnin.
Beliau menggantikan bekas Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Mutang Tagal yang meninggal dunia, pada Mei lalu.
Sebelum ini, Awang Bemee mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Dewan Negara, pada 15 Mei lalu.
Beliau pernah menjadi ADUN Nangka selama tiga penggal bermula 1996 hingga 2011, selain pernah memegang jawatan Setiausaha Agung Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) serta Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu.
Penasihat Undang-Undang PBB dan Pegawai Awam Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu juga kini memegang jawatan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kuching dan Pengarah Sarawak Plantation Berhad.
Beliau merupakan pengamal undang-undang berpengalaman mengendali kes sivil dan jenayah di semua mahkamah hingga Mahkamah Persekutuan sejak mula diterima sebagai peguam bela dan peguam cara oleh Mahkamah Tinggi Borneo pada 1984.
Dilahirkan pada 22 Jun 1959, Awang Bemee adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Malaya.
#Awang Bemee Awang Ali Basah #Yang di-Pertua Dewan Negara #ADUN Nangka #Mutang Tagal