Awak-awak pukat kenka akan dibantu - Exco

Bernama
Julai 17, 2020 08:00 MYT
Abdul Yunus (tengah) mendengar masalah yang dihadapi nelayan selepas Program Dialog Dengan Nelayan Pantai di Jeti Nelayan Kuala Bagan Tiang, Parit Buntar, 16 Julai, 2020. --fotoBERNAMA
Nasib kira-kira 600 awak-awak bot pukat kenka di daerah ini yang bakal kehilangan pekerjaan mereka akan dibela susulan bot berkenaan tidak lagi dibenarkan beroperasi bermula hujung tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perikanan, Perladangan dan Sekuriti Makanan negeri Perak, Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata kerajaan negeri sedang berbincang dengan kerajaan pusat supaya golongan itu dapat bekerja dalam bidang berkaitan seperti membaiki bot nelayan, sampan, berniaga dan menjalankan aktiviti industri hiliran.
"Kerajaan dan agensi kerajaan hendaklah membantu golongan ini (awak-awak) kerana kita bimbang mereka yang kehilangan pekerjaan ini juga mempunyai keluarga (untuk ditanggung) setelah pendapatan (mereka) terjejas," katanya dalam sidang media selepas Program Dialog Bersama Nelayan Pantai bersama beberapa agensi kerajaan di Jeti Kuala Bagan Tiang di sini, pada Khamis.
Beliau berkata nelayan pukat kenka yang beroperasi dengan menggunakan dua bot tidak lagi dibenarkan beroperasi kerana pukat itu menjejaskan pembiakan ikan.
Sehubungan itu katanya pengusaha bot terbabit yang juga terjejas akan diberikan peluang untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian serta industri ternakan ikan dalam sangkar.
-- BERNAMA
#Abdul Yunus Jamahri #awak-awak #bantuan #bot #hilang pendapatan #ikan #industri hiliran #kerajaan negeri #kerajaan pusat #Perak #pertanian #pukat kenka #sampan
;