Autonomi pada sekolah, kementerian ada mekanisme untuk pantau ketelusan

Raja Hisyam Raja Zaid
Disember 27, 2018 23:00 MYT
AMIN: Pemansuhan peperiksaan tahap satu bermula Januari depan merupakan pendekatan terbaik bagi membolehkan sekolah menggerakkan sistem baharu pembelajaran. -Gambar fail
Pemansuhan peperiksaan tahap satu bermula Januari depan merupakan pendekatan terbaik bagi membolehkan sekolah menggerakkan sistem baharu pembelajaran.
Menurut Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Datuk Dr Amin Senin, jika sebelum ini semua sekolah menerima arahan daripada Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah masing-masing, kini sekolah boleh merancang program mereka sendiri berdasarkan keperluan dan kesesuaian mereka.
Ini kerana, jelasnya, guru-guru di sekolah lebih memahami keperluan dan masalah semasa pelajar-pelajar mereka.
“Ada dua aspek. Satu, kita memberikan autonomi ataupun kepercayaan kepada guru untuk mengubah suai pengajaran dan pembelajaran berdasarkan pengetahuan profesional mereka. Tapi kita tahu bahawa kepercayaan ini tidak boleh berlaku serta-merta.
"Sebab itu, aspek kedua, di samping kita memberikan kepercayaan, sistem kita juga kena berubah.
"Maksud saya di peringkat PPD dan juga JPN serta peringkat kementerian, sistem ini juga perlu memberikan kepercayaan," katanya ketika menjadi tetamu dalam program Agenda AWANI pada Khamis malam.
Amin juga menolak bahawa kaedah baharu itu akan memberi bebanan kepada guru seperti yang dianggap oleh sesetengah pihak.
“Ia bukanlah sesuatu yang baharu kerana kita pernah melakukan melalui pentaksiran bilik darjah satu dahulu. Ia sebenarnya telah dilaksanakan sejak tahun 2011, tapi ketika itu tidak diambil perhatian. Apa yang mereka lakukan ini adalah dalam lingkungan tanggungjawab mereka sebenarnya," katanya.
Jelasnya, KPM juga telah mengenal pasti beberapa masalah yang mungkin dihadapi oleh guru-guru terutamanya membabitkan kelas yang mempunyai pelajar yang agak ramai.
Katanya, guru tidak perlu bimbang kerana hal itu telah telah diambil perhatian dan mereka akan menerima sokongan berterusan daripada PPD dan juga JPN.
Beliau juga menyeru agar guru besar sekolah masing-masing memberi perhatian terhadap pentaksiran tahap satu, dalam membentuk cara fikir dan kaedah pembelajaran baharu abad ke-21.
“Bila kita melaksanakan pentaksiran ini untuk menggantikan peperiksaan, ketelusan boleh ditingkatkan ataupun boleh dipantau oleh ibu bapa itu sendiri.
"Sebab ibu bapa akan bertanya kepada guru itu jika ada sebarang masalah. Komunikasi itu akan menyebabkan guru itu lebih sedar, maka dia perlu menaksir secara objektif dan mempunyai bukti yang jelas," ujarnya.
#agenda #Agenda Awani #amin senin #guru #Malaysia #pelajar #pendidikan #peperiksaan #sekolah