Automotif ASEAN: Kerajaan kenal pasti syarikat Indonesia jalin kerjasama Proton

Harits Asyraf Hasnan
Jun 29, 2018 17:15 MYT
Mahathir (dua dari kiri) bertemu Joko Widodo (dua dari kanan) di Verandah Talk di Istana Bogor hari ini. - Foto: Bernama
Kerajaan telah mengenal pasti syarikat daripada Indonesia yang akan bekerjasama dengan Proton dalam merealisasikan kereta Malaysia-Indonesia.
Bagaimanapun Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menyatakan secara terperinci nama syarikat tersebut lantaran ia tidak melibatkan kerajaan Malaysia secara langsung.
"Kerjasama itu terhenti kerana saya menjadi 'persona non grata' kepada kerajaan Malaysia. Jadi projek itu tidak diteruskan.
"Saya harap kita dapat hidupkan semula perancangan kita. Secara prinsip ia diterima," katanya pada sidang media bersama media Malaysia sebelum mengakhiri lawatan dua hari di republik ini di sini hari ini.
Ujar beliau, Presiden Indonesia, Joko Widodo turut memberi respons positif dalam perkara itu.
"Dia nampak positif. Umumnya, kita mempunyai persefahaman yang agak baik antara kita dua dan yang tinggal ialah pengurusan mengikut keputusan ini," katanya.
Pada 2015, satu perjanjian persefahaman turut ditandatangani antara Proton dan PT Adiperkasa Lestari bagi merealisasikan cita-cita republik berkenaan untuk memiliki kereta nasional sendiri.
Jika impian itu terlaksana, kenderaan dua negara tersebut dijangka akan mendominasi pasaran di 10 negara ASEAN.
#ASEAN #Indonesia #Joko Widodo #Mahathir Mohamad #Malaysia #Proton
;