Australia, Malaysia hargai pejuang Perang Dunia Kedua

Bernama
Ogos 15, 2015 20:00 MYT
Anggota keselamatan Australia bertafakur bagi memperingati tentera Australia yang terkorban ketika Perang Dunia Kedua sempena Upacara Hari Sandakan di Taman Peringatan Sandakan hari ini. - fotoBERNAMA
Persahabatan antara Australia dan Malaysia sebahagiannya telah dibentuk oleh pengalaman pahit semasa peperangan, kata Gabenor Jeneral Australia Sir Peter Cosgrove AK MC (B).
Beliau berkata pada bulan-bulan terakhir Perang Dunia Kedua, hampir 2,500 tawanan perang Australia dan British dipaksa berjalan kaki sejauh 250 kilometer di Sabah.
Kejadian itu dikenalis sebagai 'Death Marches'.
"Ini merupakan peperangan yang tidak boleh dilupakan kerana apa yang terjadi di sini satu ketika dahulu, perlu diambil berat.
"Inilah sebabnya kita berada di sini hari ini. Untuk memperingati, menghargai dan memberikan penghormatan kepada mereka yang terkorban," katanya pada Upacara Memperingati Sandakan di Taman Peringatan Sandakan hari ini.
Tahun ini merupakan tahun ke-70 bagi memperingati 'Death Marches' di mana tawanan perang itu berjalan kaki dari Sandakan ke Ranau.
Sir Peter berkata hanya enam daripada lebih 2,000 orang yang terselamat dalam peperangan itu.
"Akibat dipaksa berjalan kaki, ramai yang kehilangan masa depan selain impian dan aspirasi tidak dapat dipenuhi. Dan semestinya, mereka meninggalkan keluarga buat selama-lamanya. Ia adalah waktu yang kejam.
"Rakyat Sabah turut sengsara. Australia sentiasa berterima kasih kepada mereka atas sokongan yang ditunjukkan kepada para tawanan. Mereka yang berani ini bertarung, membantu tawanan dan memberikan tempat perlindungan kepada yang dapat melarikan diri.
"Contoh keberanian dan kemanusiaan yang ditunjukkan mereka merupakan kisah yang perlu diceritakan kepada anak-anak kita. Kita mengenang mereka seperti mana kita mengenang pejuang kita sendiri," kata Sir Peter.
Sabah diwakili Timbalan Ketua Menteri Datuk Raymond Tan Shu Kiah pada upacara itu.
#Australia #British #Death Marches #Perang Dunia Kedua #Peter Cosgrove #Sabah #tawanan perang
;