Australia komited jalin hubungan paling kukuh dengan Malaysia

Bernama
Februari 28, 2023 15:45 MYT
Penny menegaskan bahawa kerajaannya mahu membina hubungan yang paling kukuh dengan Malaysia yang melangkaui bidang kerjasama dua hala sedia ada. - Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia merupakan rakan kongsi penting Australia di rantau ini, kata Menteri Luarnya Penny Wong yang turut menekankan komitmen Canberra untuk sentiasa berusaha memperkukuh hubungan dua hala itu.
Beliau menegaskan bahawa kerajaannya mahu membina hubungan yang paling kukuh dengan Malaysia yang melangkaui bidang kerjasama dua hala sedia ada.
Kedua-dua pihak menjalin kerjasama yang mendalam dalam pelbagai sektor, termasuk pendidikan, perdagangan dan pelaburan, pertahanan, keselamatan siber serta sains dan teknologi.
"Hubungan ini (juga) melibatkan dimensi serantau. Malaysia merupakan anggota penting ASEAN, (dan) ASEAN adalah pusat rantau kita.
"Kami berharap dapat terus melibatkan diri, mendengar dan bekerjasama dengan Malaysia ketika rantau ini melalui tempoh masa yang agak mencabar," katanya kepada Bernama dalam temu bual di Suruhanjaya Tinggi Australia di sini, hari ini.
Wong kini dalam lawatan kerja dua hari ke Malaysia, lawatan kedua beliau ke sini sebagai menteri luar Australia. Beliau melawat Malaysia pada Jun tahun lepas sejurus menyandang jawatan itu.
Beliau tiba di sini pada Isnin dan bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Mengenai pertemuan dengan Anwar pada Isnin, beliau berkata: "Saya menghargai kemesraan dan penglibatan Perdana Menteri dan sikap berterus-terang antara satu sama lain semasa pertemuan itu.
"Tidak kira siapa yang pernah berada dalam kerajaan, di Australia kami sentiasa melihat hubungan dua hala dengan Malaysia sebagai sangat penting".
Dalam kenyataan media sebelum lawatannya, Wong berkata kunjungannya ke Malaysia kali ini akan menumpukan pada usaha meningkatkan hubungan perdagangan dan ekonomi yang penting, kerjasama dalam pertahanan dan keselamatan serantau serta hubungan rapat antara rakyat kedua-dua negara.
Hubungan rapat Malaysia dan Australia bermula sebelum kemerdekaan Malaya pada 1957 diikuti pembentukan Malaysia pada 1963.
Pada 2021, Malaysia dan Australia meningkatkan hubungan kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP).
Selain hubungan dua hala, kedua-dua negara juga bekerjasama rapat dalam platform serantau dan antarabangsa yang lain, termasuk di ASEAN-Australia CSP, Sidang Kemuncak Asia Timur, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Komanwel dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).
Kedua-dua negara, bersama Singapura, New Zealand dan United Kingdom juga membentuk Perjanjian Pertahanan Lima Negara yang merupakan kerjasama pertahanan pelbagai hala.
Dalam ekonomi dan perdagangan, Australia dan Malaysia juga terlibat dalam Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Australia (MAFTA), Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand (AANZFTA), Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
Jumlah perdagangan antara kedua-dua negara pada 2022 meningkat dengan ketara sebanyak 55.4 peratus kepada RM88.65 bilion (AS$20.05 bilion), menjadikan Australia rakan dagangan ke-10 terbesar Malaysia.
Pada 2021, dagangan dua hala bernilai RM52.28 bilion (AS$12.43 bilion), meningkat 28.7 peratus daripada tahun sebelumnya.
-- BERNAMA
#Penny Wong #Australia #kerjasama dua hala #Malaysia #pendidikan #perdagangan
;