Australia dan Malaysia jalin hubungan Australia-ASEAN yang lebih kukuh - Heinecke
Bernama
Ogos 9, 2024 23:15 MYT
Ogos 9, 2024 23:15 MYT
KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke, menekankan perkongsian kukuh antara Australia dan Malaysia, dengan menegaskan komitmen bersama mereka untuk memperkukuh hubungan dalam rantau ASEAN.
Dalam satu mesej video terkini di laman Facebook Suruhanjaya Tinggi Australia di Malaysia, Heinecke menyamakan hubungan antara Australia dan ASEAN dengan gabungan popular Malaysia, "Roti Canai dan Teh Tarik," yang menggambarkan sinergi semula jadi antara kedua-duanya.
"Tahun ini, Malaysia dan Australia bekerjasama untuk menyokong inisiatif ASEAN mengenai kerjasama maritim, pencegahan konflik, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), dan membina kemahiran yang diperlukan untuk masa depan yang cerah," katanya dalam video itu.
Heinecke turut meluahkan rasa berbesar hati Australia menjadi tuan rumah kepada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim di Melbourne pada Mac 2024 untuk Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia, yang meraikan 50 tahun perkongsian dan Mesyuarat Tahunan Pemimpin Australia-Malaysia yang kedua.
Beliau turut menyebut ulang tahun ke-70 kehadiran Australia di Malaysia menerusi platform diplomatik yang bakal tiba pada 2025, sambil menambah bahawa Australia merupakan satu daripada negara pertama yang menjalin hubungan diplomatik dengan Malaysia.
"Kami tidak sabar untuk meraikan hubungan kami yang diasaskan melalui ikatan erat antara rakyat kami," kata pesuruhjaya tinggi itu.
Ketika Malaysia bersiap sedia untuk menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025, Heinecke berkata Australia bersedia untuk menyokong Malaysia.
"ASEAN penting bagi Malaysia, dan ia juga penting bagi kami," katanya.
Beliau mengakhiri mesejnya dengan frasa "Bersama Kita Lebih Teguh!".
-- BERNAMA