AUKUS: Malaysia, negara ASEAN perlu sentiasa nyatakan kegusaran

Astro Awani
September 19, 2021 21:46 MYT
Keadaan di rantau Asia Tenggara masih stabil malah pendekatan negara-negara di rantau ini dalam aspek keselamatan di Selat Melaka terbukti sangat berjaya. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Malaysia dan negara-negara di rantau Asia Tenggara perlu sentiasa menyatakan kegusaran dan rasa tidak senang terhadap penubuhan kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AUKUS).
Pensyarah Kanan Undang-Undang Antarabangsa, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Mohd Hazmi Mohd Rusli berkata, tiada keperluan untuk kuasa-kuasa besar untuk datang ke rantau ini atas dasar keselamatan.
Tegasnya, keadaan di rantau Asia Tenggara masih stabil malah pendekatan negara-negara di rantau ini dalam aspek keselamatan di Selat Melaka terbukti sangat berjaya.
BACA: Penubuhan AUKUS: Malaysia suarakan kegusaran kepada Australia
“Kita tak dengar apa yang berlaku di rantau lain berlaku di sini. Jadi memang wajar untuk negara di rantau ini berasa bimbang, ia bagi mengekalkan kestabilan ini.
“Kita tengok di seluruh dunia, apabila ada campur tangan luar, pasti kucar-kacir jadinya.
“Penting bagi ASEAN menyatakan pendirian berkaitan AUKUS ini dan perlu bangkit menyatakan kegusaran sekiranya ia boleh akibatkan apa-apa kesan kepada rantau kita ini,” katanya ketika bersiaran langsung dalam Buletin AWANI pada Ahad.
Tambahnya, kerajaan perlu bimbang dengan perjanjian tersebut kerana maklumat penuh AUKUS masih belum diperoleh sehingga kini.
Beliau juga menyatakan kebimbangan sekiranya ada kuasa besar yang tidak berpuas hati atau berasa kurang senang, Malaysia pula nanti yang akan menjadi mangsa dan menerima kesannya.
BACA: AUKUS: Australia cadang hantar pegawai ke Malaysia
“Kita perlu berhati-hati dengan percaturan ini.
“Makanya, selagi tidak dapat apa yang dijelaskan pihak berkaitan dengan AUKUS ini, kita perlu sentiasa keluarkan kenyataan sentiasa gusar dan bahawa kita sendiri tidak senang dengan apa yang sedang berlaku,” ujarnya.
Astro AWANI pada Sabtu melaporkan Malaysia menyuarakan kegusaran terhadap penubuhan kerjasama tiga hala AUKUS.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan memaklumkan, perkara itu dinyatakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi panggilan telefon bersama rakan sejawatnya dari Australia, Scott Morrison pada Jumaat.
Dalam panggilan telefon itu, Morrison berkata, penubuhan kerjasama tersebut adalah untuk membantu Australia memperoleh kapal selam berkuasa nuklear.
Penubuhan AUKUS | Memahami kesan dan potensi ancaman
#AUKUS #Asia Tenggara #Selat Melaka #Malaysia
;