AUKUS: Malaysia kekal dengan pendirian, minta semua pihak menghormatinya
Bernama
Mac 14, 2023 00:21 MYT
Mac 14, 2023 00:21 MYT
PUTRAJAYA: Pendirian Malaysia mengenai perkongsian keselamatan tiga negara yang dikenali AUKUS tidak berubah dan meminta semua pihak menghormati pendirian serta pendekatan Malaysia terhadap kapal selam berkuasa nuklear yang beroperasi di perairan negaranya.
Ia termasuk di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkaitan Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS) dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) dan Deklarasi ASEAN mengenai Zon Keamanan, Kebebasan dan Berkecuali (ZOPFAN).
Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra) pada Selasa, Malaysia menekankan kepentingan menggalakkan ketelusan dan membina keyakinan dalam kalangan semua negara serta mengelak sebarang provokasi yang berpotensi mencetuskan perlumbaan senjata nuklear atau menjejaskan keamanan dan keselamatan di wilayah ini.
Kenyataan itu dibuat selepas butiran terbaharu mengenai AUKUS dipertingkatkan antara Australia, Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) pada Isnin oleh Presiden AS Joe Biden, dan perdana menteri UK dan Australia - Rishi Sunak dan Anthony Albanese.
Kenyataan itu juga memaklumkan bahawa kerajaan Malaysia mengambil maklum mengenai kenyataan bersama oleh ketiga-tiga pemimpin itu.
Butiran baharu mengenai AUKUS muncul pada Isnin menerusi pengumuman Australia menjadi negara pertama untuk membeli tiga kapal selam Virginia buatan Amerika pada awal 2030-an, dengan AS dan UK menempatkan beberapa kapal selam berkuasa nuklear di pangkalan RAN di Perth, Australia Barat mulai 2027.
Menurut laporan media antarabangsa, Biden menegaskan bahawa kapal itu tidak dilengkapi senjata nuklear dan tidak akan menjejaskan komitmen Australia untuk kekal sebagai negara bebas senjata nuklear.
Bernama melaporkan Penolong Setiausaha Jabatan Negara AS untuk Biro Hal Ehwal Asia Timur dan Pasifik Daniel J. Kritenbrink berkata asas pakatan yang ditubuhkan masih kekal bebas senjata nuklear, walaupun terdapat kebimbangan yang disuarakan oleh negara-negara Asia Tenggara mengenai ancaman perlumbaan senjata pemusnah itu.
-- BERNAMA